Jangan terburu-buru ubah format UPSR

HARAKAHDAILY | .

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak harus tergesa-gesa mahu mengubah format UPSR kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Sepatutnya KPM  mengambil iktibar daripada apa yang terjadi kepada sistem PBS khususnya lagi PT3 yang banyak memaparkan kelemahan hingga menimbulkan masalah kepada para pelajar, guru-guru dan sekolah itu sendiri.

DPPM menegaskan bahawa KPM mesti terlebih dahulu mengkaji secara menyeluruh kelemahan-kelemahan yang ada serta menyemak semula dasar dan pelaksanaan PBS itu sendiri sebelum apa-apa perubahan dilakukan terhadap sistem UPSR sekarang.

Desakan sama ini juga telah disuarakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sebelum ini.

Keutamaan kajian tersebut mestilah berdasarkan maklum balas serta aduan yang menyeluruh daripada semua pihak termasuk para pelajar, ibu bapa, guru-guru dan persatuan-persatuan ibubapa dan guru selain daripada pihak KPM serta agensi-agensinya yang berkaitan, ahli akademik dan pihak NGO.

Bertindak secara tergesa-gesa menggantikan suatu dasar atau sistem sedia ada dengan sistem baru yang belum terbukti berkesan secara positif bahkan telah dapat dilihat aspek-aspek negatifnya pastinya bukan jalan keluar yang terbaik bagi menyelesaikan masalah untuk jangka masa panjang.

DPPM mendapati tindakan Kerajaan kerap kali menukar kaedah serta dasar pembelajaran hanya mengganggu atau menimbulkan kekeliruan terhadap dasar serta hala tuju sistem pendidikan negara.

Adalah dirasakan lebih elok ditambah nilai serta diperbaiki sistem sedia ada agar menjadi lebih baik, berdaya maju serta kompetitif berbanding menukarkannya dengan sistem yang baru.

USTAZ MOHAMAD ISMAIL
Pengarah Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah DPPM
15 Januari 2016 | 5 Rabi’ul Akhir 1437 - HARAKAHDAILY 15/1/2016

Share on Myspace