TPPA dan impak ke atas gaji pekerja

HARAKAHDAILY | .

Dengan keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat dan gaji ibarat “kais pagi makan pagi”, 95 peratus rakyat Malaysia buat masa sekarang ini lebih mementingkan isu di bawah:

Berapa banyak gaji mereka akan meningkat?

Berapa banyak pendapatan isi rumah akan meningkat?

Adakah mereka mampu untuk mengekalkan pekerjaan mereka pada tahun-tahun yang akan datang?

Adakah pekerjaan baru yang akan diwujudkan memberikan pendapatan yang lebih baik dan tinggi?

Adakah kos sara hidup secara relatif akan menjadi lebih rendah berbanding dengan pendapatan mereka?

Adalah sangat menyedihkan apabila jumlah KDNK (GDP) dan pelaburan sering diketengahkan tetapi bukanlah keuntungan bagi rakyat jelata – terutamanya isirumah dan pekerja.

Berdasarkan Analisis Kos Faedah yang dilakukan oleh PriceWaterhouseCoopers’ mengenai gaji, kami dapati bahawa jika kerajaan menandatangani TPPA, kenaikan gaji bulanan melebihi garis dasar hanyalah RM25 pada tahun 2027. Terdapat juga pengurangan dalam pendapatan isi rumah secara purata sepanjang 2018-2027 sebanyak RM117.
 
Adalah sangat menghairankan bahawa satu perjanjian yang disebut sebagai “perjanjian abad ke-21 yang berkualiti tinggi, mempunyai standard emas (sebanyak 6,200 mukasurat secara keseluruhannya) – yang akan memberi impak kepada hampir semua dasar-dasar yang sedia ada dan akan menjejaskan kehidupan setiap rakyat dan generasi masa hadapan untuk 100 tahun yang akan datang, termasuk membelakangi RMK-11 – hanya akan menghasilkan kenaikan RM25 kepada gaji bulanan pekerja sebulan pada tahun 2027.
 
Apabila TPPA berkuat kuasa ia tidak akan membolehkan kita untuk meningkatkan gaji minima yang kini ditetapkan sebanyak RM1,000. Dasar gaji minima adalah penting untuk meningkatkan tahap umum gaji terutama di kalangan mereka yang berpendapatan lebih rendah. Peruntukan dalam bab pelaburan seperti klausa-klausa “fair and equitable treatment (FET)”atau "layanan yang adil dan saksama" serta “expropriation” atau "rampasan" bermakna Malaysia tidak boleh menukar mana-mana parameter ekonomi yang akan mengurangkan keuntungan semasa dan masa depan pelabur. Lihat sahaja kes Veolia vs Mesir di mana Mesir telah didakwa di atas hasrat kerajaannya untuk melaksanakan gaji minima walaupun polisi ini dianggap “non-discriminatory” atau “tanpa diskriminasi”.

Sebenarnya, pada masa sekarang ini, gaji minima di Malaysia iaitu RM5 sejam adalah lebih rendah daripada Jakarta (RM5.40 sejam) dan Manila (RM5.52 sejam) yang melancarkan dasar gaji minima mereka awal tahun ini.

Larangan "keperluan prestasi" (performance requirement) dalam Bab Pelaburan juga akan menghalang Malaysia daripada membuat dasar-dasar yang tidak menggalakkan pelaburan bernilai rendah dan yang memerlukan industri tenaga kerja yang ramai serta bergaji rendah. Malah, MITI dengan megahnya membuat kenyataan bahawa TPPA akan menguntunkan dan menggalakkan perkembangan industri tekstil - yang pada dasarnya adalah bergaji rendah, bernilai rendah, berteknologi rendah dan sangat bergantung kepada pekerja asing. Kenyataan ini sebenarnya bercanggah dengan aspirasi awal ETP dan RMK-11 untuk mewujudkan lebih banyak sektor-sektor bernilai tinggi dan yang menjanjikan gaji yang tinggi. Jika kerajaan menandatangani TPPA, Malaysia sebenarnya bukan maju ke hadapan, tetapi mengambil langkah ke belakang.

Secara amnya, apabila terdapat pengurangan dari segi lebihan dagangan ataupun apabila kita mengalami defisit perdagangan (trade deficit), kita akan mengalami kehilangan pekerjaan. Analisis Kos Faedah PwC menyatakan bahawa akan ada pengurangan dari segi lebihan dagangan. Mengikut sejarah, kebanyakan negara yang menandatangani FTA atau perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat akan mengalami defisit perdagangan yang sangat ketara (Chile  USD-9.4bil 2008-2012, Peru USD-2.9bil 2003-2012, Singapore USD-10.3bil 2003 -2012, Argentina USD-21.7bil 2004-2012).

Apabila TPPA dilaksanakan, peluang bagi usahawan tempatan untuk mendapatkan kontrak kerajaan yang berskala besar akan berkurangan. Menurut kajian yang dijalankan oleh Bantah TPPA*, nilai Perolehan Kerajaan atau GP yang diberikan kepada syarikat asing dari tahun 2010 sehingga 2014 adalah 18.2%. Tetapi apabila TPPA dilaksanakan (entry into force atau EIF) pada tahun 2018, peratusan bagi industri pembinaan contohnya, akan meningkat ke 25% dan seterusnya ke 52% pada tahun 2038.

(* Government Procurement Chapter, State-Owned Investment Chapter and Bumiputera Affirmative Policy - by Bantah TPPA/lead researcher Azlan Awang)

Kami mengharapkan bahawa dengan liberalisasi serta aliran modal dan pelaburan yang tidak dikawal, akan terdapat aliran bebas pekerja. Tapi ini tidak akan berlaku. Sebaliknya, Malaysia diharuskan untuk juga membolehkan pelawat perniagaan (business visitors), pemasang (installer), pekerja servis, penerima pindahan antara korporat (intra corporate transferees) iaitu pengurusdan pakar-pakar, pekerja kontrak profesional dan pekerja lain untuk bekerja di Malaysia sehingga 10 tahun. Tanggungan (isteri-isteri dan anak-anak) juga akan dibenarkan untuk tinggal dan bekerja di Malaysia.

Amerika Syarikat tidak akan membenarkan ini berlaku di negara mereka. Dengan ini:

* Malaysia, buat masa sekarang, adalah lebih terbuka dari AS atau Kanada (UNCTAD)

* Malaysia memberikan perlindungan yang lebih bagus kepada pelabur dari AS ataupun Kanada (PWC CBA)

* Menurut USTR pula, langkah bukan tarif atau NTM (non tariff measures) kemungkinan besar akan didapati dari pensijilan halal, otomobil, polisi bumiputera dan perolehan kerajaan serta perolehan GLC.

Joseph Stiglitz (Nobel Price Laureate for Economics) berkata: Regardless of how fast GDP grows, an economic system that fails to deliver gains for most of its citizens, and in which a rising share of the population faces increasing insecurity, is, in a fundamental sense, a failed economic system.
 
“Tidak kira betapa pesatnya kenaikan GDP, sebuah sistem ekonomi yang gagal memberikan keuntungan kepada sebahagian besar rakyatnya, dan mengakibatkan semakin ramai penduduknya mengalami perasaan tidak selamat (insecurity), ialah pada asasnya, satu sistem yang gagal.”
 
Kesimpulan

• TPPA tidak memberi faedah kepada rakyat biasa. Juga membuktikan bahawa “trickledown effect” yang diwar-warkan adalah sebuah mitos.

• Peningkatan kecil sebanyak RM25 gaji bulanan pekerja melebihi garis dasar pada tahun 2027 dan pengurangan pendapatan isi rumah – adalah tidak wajar dan akan meletakkan Malaysia di dalam bahaya, terutamanya dari segi:

- terhakisnya kedaulatan,
- kehilangan ruang polisi,
- ketidakupayaan untuk meneruskan pembangunan negara,
- kos tinggi yang berpanjangan bagi membeli ubat-ubatan,
- mengurangkan akses kepada maklumat dan pengetahuan,
- memberi akses yang tidak patut kepada pasaran perolehan kerajaan dan GLC dan banyak lagi.

Kemungkinan kehilangan pekerjaan yang meluas

Secara mudah, TPPA tidak akan memberi manfaat kepada rakyat biasa. Kos sara hidup akan terus meningkat manakala kenaikan gaji adalah terlalu kecil; tanpa syak lagi TPPA akan membebankan rakyat dan negara.
 
AZLAN AWANG
Timbalan Pengerusi Bantah TPPA - HARAKAHDAILY 15/1/2016

Share on Myspace