Penduduk gembira operasi lombong bauksit digantung

BASIRON ABDUL WAHAB | .

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu berkata, penduduk yang terlibat dengan pencemaraan bauksit kini gembira seolah-olah ‘mati hidup semula’ apabila kedamaian hidup kembali semula apabila tiada lagi lori-lori bauksit bermaharajalela di kampung mereka.
 
Menurutnya, majoriti penduduk merasa amat gembira setelah hampir dua tahun diganggu oleh debu merah dan deruman kenderaan berat yang melalui jalan utama di penempatan mereka kini sudah tiada lagi mulai semalam.
 
Bagaimanapun keceriaan penduduk dijangka tidak lama kerana kerajaan hanya menggantung operasi perlombongan bauksit itu untuk tempoh tiga bulan sahaja, selepas itu penduduk pastinya akan diganggu semula.  
 
Ini bergantung kepada bagaimana cara pihak berkuasa menyediakan pelan pengangkutan baharu yang bakal diumumkan sebelum perlombongan bauksit dibuka semula nanti.
 
Menurut Andansura rata-rata penduduk mahu kerajaan menutup terus operasi perlombongan itu.
 
Sebahagian penduduk lagi (tuan tanah bauksit) pula kecewa dengan penutup sementara perlombongan bauksit yang menjadi sumber pendapatan mereka.
 
Selain tuan tanah, broker dan mereka yang terlibat dalam industeri yang mencemar alam sekitar itu turut kecewa.
 
Sejak 14 Januari lalu, beberapa agensi kerajaan seperti Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Bomba dan lain dikerah membersih (membasuh) jalan raya berwarna kuning supaya kembali kepada pemandangan biasa sebelum wujudnya lombong bauksit.
 
Ramai yang mempertikaikan kenapa agensi kerajaan dikerah untuk membersih sisa bauksit sedangkan masalah itu berpunca daripada syarikat perlombongan mineral itu.
 
Syarikat perlombongan yang sepatutnya dipaksa membersihkan jalan raya kerana mereka yang mencemarkannya. - HARAKAHDAILY 16/1/2016

Share on Myspace