Generasi wajar disambut, digerak semua peringkat

HARAKAHDAILY | FOTO WAN ZAHARI | .

TEMERLOH: Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Razman Zakaria mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelancaran Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) Peringkat Kebangsaan di Kompleks Al Makmur, Kerdau malam tadi.

"Pihak lajnah merakamkan jutaan terima kasih kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang walaupun baru sahaja baru keluar dari IJN (Institut Jantung Negara) 2 hari lalu tetap hadir bagi merasmikan program tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, Generasi yang baru dilancarkan itu wajar disambut serta digerakkan di semua peringkat negeri dan kawasan.

Tambahnya, ini kerana ia merupakan satu medan untuk menyatakan pandangan  penambahbaikan terhadap sesuatu keputusan yang melibatkan masa depan generasi rakyat negara ini.

Beliau berkata, walaupun NGO Generasi itu ditubuhkan di bawah seliaan Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, namun isu yang diperjuangkan menyentuh semua aspek kehidupan rakyat.

Menurutnya, langkah permulaan Generasi memberi fokus kepada isu Felda dengan generasi Felda sudah mencecah 2 juta orang dari 315 rancangan Felda dengan lebih 120,000 peneroka.

"Tindakan pengurusan menyenaraikan Felda Holding yang kini dikenali sebagai FGV, jika tidak dipantau kita bimbang FGV akan mengalami nasib seperti MAS.

"Jika ini berlaku ia akan memberi kesan langsung kepada peneroka," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Perak

Tuan Guru Abdul Hadi memotong balak sebagai gimik pelancaran Generasi pada majlis yang dianggarkan dihadiri kira-kira 5,000 orang itu.

Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Ketua Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Nuridah Mohd Salleh. Jumlah hadirin dianggarkan mencecah 5,000 orang. - HARAKAHDAILY 17/1/2016

Share on Myspace