1988: PAS setuju kerjasama DAP, PSRM tentang ISA

HARAKAHDAILY | .

PAS SETUJU BEKERJASAMA DENGAN DAP DAN PSRM UNTUK MENENTANG ISA (17 JANUARI 1988)

PADA hari ini dalam tahun 1988, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil persetujuan untuk membentuk kerjasama politik dengan DAP DAN Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) bagi menentang penyalahgunaan ISA oleh Kerajaan BN ekoran dari Operasi Lalang yang dilakukan pada 27 Oktober 1987.

Operasi ini telah menahan 107 memimpin pembangkang, NGO dan ahli-ahli akademik ekoran daripada pergeseran politik antara Umno dan MCA ketika itu.

Pada mulanya, para memimpin politik Cina dari MCA, Gerakan dan DAP telah membangkitkan isu perkauman dengan mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu, yang kemudiannya membawa kepada perhimpunan besar-besaran anjuran Pergerakan Pemuda Umno yang dipimpin oleh Datuk Mohd Najib Tun Razak di Stadium TPCA, Kampung Baru pada 17 Oktober 1987 yang hampir menceruskan semula rusuhan kaum.

Bertindakan atas isu perkauman ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melancarkan Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987 di mana pimpinan PAS, PSRM dan DAP adalah antara yang ditahan, walaupun PAS pada 10 Oktober 1987 telah mengadakan ahli-ahlinya supaya tidak terlibat dengan isu perkauman.

Ekoran itu, pada 19 November 1987, PAS telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamed untuk menjelaskan ketidakterlibatan PAS dalam isu perkauman, sebaliknya Umno dan MCA yang bergeser sehingga mencetuskan krisis.

Pada pandangan PAS, penahanan ISA ini adalah bukan semata-mata isu perkauman, tetapi lebih untuk menjamin kelangsungan politik BN selepas perpecahan Team A dan Team B Umno dalam pemilihan parti itu yang diikuti oleh perselisihan antara Umno dengan MCA dan Gerakan.

Pada 22 November 1987, PAS telah menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Hanif Omar untuk membincangkan isu penyalahgunaan ISA ini.

Bagi mengukuhkan lagi gerakan menentang ISA ini, PAS telah mengambil langkah membentuk kerjasama dengan parti-parti pembangkang terutama DAP dan PSRM mulai 17 Januari 1988 sebagai satu kerjasama atas dasar kemanusiaan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
17 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 17/1/2016

Share on Myspace