Felda wajar terima Generasi sebagai rakan dialog

HARAKAHDAILY | FOTO WAN ZAHARI | .

TEMERLOH: PAS berharap Felda dapat menerima Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) untuk membincangkan isu berkaitan dengan generasi masa depan Felda.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, badan bukan kerajaan (NGO)itu juga turut membincangkan isu berkaitan generasi muda di Felcra.

Katanya, antara isu utama perlu dibincangkan yang parah berlaku di kawasan Felda dan Felcra ialah masalah kerosakan aqidah dan gejala sosial dalam kalangan generasi muda.

"Ke mana hala tuju anak-anak muda nak dibawa oleh kerajaan," ujarnya ketika brucap pada Majlis Pelancaran Generasi oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Kompleks Al Makmur, Kerdau malam tadi.
 
Turut berucap pada majlis yang dihadiri sekitar 5,000 orang itu ialah ialah Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Ketua Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Nuridah Mohd Salleh serta Pengerusi Generasi, Roslam Md Desa.

Justeru, kata beliau pihak berkenaan jangan melihat Generasi sebagai penentang kerajaan sebaliknya sebagai rakan dialog untuk mencari titik persamaan bagi kebaikan masa depan anak-anak muda di rancangan Felda.

Tambahnya, NGO Generasi juga melihat masalah perumahan generasi kedua perlu diselesaikan segera oleh pihak Felda di seluruh negara.

Walaupun Generasi ditubuhkan di bawah seliaan Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, namun isu yang diperjuangkan menyentuh semua aspek kehidupan rakyat. - HARAKAHDAILY 17/1/2016

Share on Myspace