Pelancaran Generasi: Ada mesej gimik potong balak

KHAIRIL ABDUL RAHIM | FOTO WAN ZAHARI | .

TEMERLOH: Gimik pelancaran Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) dengan upacara memotong bongkah kayu balak oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempunyai mesej tertentu.

Pengerusinya, Roslan Md Esa berkata, NGO berkenaan muncul dicelah-celah keperitan dan kesusahan rakyat, dengan itu ianya merupakan tempat generasi warisan berpaut.

"Bahagian yang dipotong buang oleh Tuan Guru adalah bahagian yang telah rosak kerana dijangkiti penyakit akibat anai-anai.

"Manakala bahagian yang sebelah lagi diselamatkan kerana bahagian itu dianggap masih baik," katanya.

Upacara memotong balak gimik pelancaran Generasi di tapak Kompleks Al Makmur di Kerdau malam tadi memeranjatkan kira-kira 5,000 orang ramai yang hadir.

Sebelum itu kumpulan motosikal berkuasa tinggi masuk ke dewan dengan membawa gergaji rantai pemotong balak sejurus sebelum Tuan Guru Presiden berucap.

Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Ketua Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Nuridah Mohd Salleh, Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Razman Zakaria serta Andansura Rabu mewakili PAS Pahang.
 
Roslan dalam pada itu melahirkan kesyukuran program yang bermula daripada sebelah pagi itu mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat.

"Pihak Generasi akan terus komited dengan perjuangan membela kepentingan generasi warisan khususnya bagi warga Felda.

"Program hari ini memberi suatu momentum kepada kami untuk terus mengorak langkah bagi membela generasi muda rakyat keseluruhannya," ujarnya. - HARAKAHDAILY 17/1/2016

Share on Myspace