PAS jalin kerjasama NGO hadapi PRU14

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS memilih kuasa ketiga (third force) bagi membentuk kerjasama politik sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan raya Umum (PRU) ke-14.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata kejayaan awal kerjasama tersebut dirintis melalui Kongres Rakyat, di mana berjaya menghimpunkan lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita sebenarnya tidak bersendirian. Kita akan bentuk blok dengan kaedah kita sendiri. Kita dekati NGO yang berperanan sebagai kuasa ketiga.

“Kejayaan penganjuran Kongres Rakyat pada September tahun lepas akan diteruskan dengan perhimpunan aman membantah TPPA pada Sabtu ini.

“Perhimpunan itu digerakkan PAS dengan gemblingan lebih 200 NGO akan berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan rakyat,” katanya di Liqa Penerangan PAS Kelantan di Putik semalam.

Program itu menghimpunkan lebih 1,500 petugas PAS dari seluruh Kelantan. Ia dirasmikan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan.

Nasruddin yang juga anggota parlimen Temerloh berkata selain NGO, PAS juga mengadakan kerjasama politik dengan beberapa parti kecil termasuk Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan Partai Cinta Malaysia.

Katanya, banyak lagi parti kecil yang menunjukkan kebersamaan dalam perjuangan.

Ustaz Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata ada pihak sebelum ini mendakwa PAS hanya hendak keredhaan Allah sahaja dan tidak mahu menang dalam pilihan raya.

“Tuduhan mereka itu tidak betul. Kita berjuang untuk menang dengan mendapat keredhaan Allah,” katanya.

Beliau juga berkata biar pun parti serpihan, PAN tidak mendapat sokongan meluas di Kelantan, namun PAS perlu bekerja lebih keras bagi menarik sokongan rakyat. - HARAKAHDAILY 17/1/2016

Share on Myspace