Peraturan tutup aurat di Kelantan sejak 1992

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sejak 1992 setiap premis perniagaan di Kelantan dikenakan syarat berpakaian menutup aurat sebagai peraturan kelulusan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT).

Peraturan terbabit antara lain menyebut semua pemegang lesen serta pekerja Islam hendaklah berpakaian menutup aurat dan bukan Islam berpakaian sopan.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata gejala tidak sihat diharap dapat dikekang melalui peraturan dikuatkuasa PBT di Kelantan.

Bagaimanapun katanya, peraturan itu hanya membabitkan premis perniagaan sahaja.

“Peraturan menutup aurat hanya dikuatkuasakan di premis perniagaan sahaja. Namun kita bimbang gejala sosial yang berlaku di tempat-tempat lain.

“Kita hendak selamatkan anak-anak muda. Sebab itulah kerajaan perluaskan peraturan menutup aurat ke semua PBT di Kelantan,” katanya pada majlis penyampaian watikah dan angkat sumpah ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) di sini hari ini.

Hadir sama anggota Exco Datuk Abdul Fattah Mahmood, Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Shahidani Abdul Aziz, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian, Datuk Nazran Mohamad dan Yang Dipertua MPKB BRI, Zamri Ismail.

Ustaz Ahmad juga berkata bagi mempertingkatkan lagi kesedaran agama kepada masyarakat, kerajaan negeri mewujudkan Jabatan Pembangunan Islam di setiap PBT bermula tahun ini.

“Jabatan itu bukan sekadar memberi penerangan kepada orang ramai, sebaliknya melaksanakan pelbagai program berdasar tuntutan syariat,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agensi kerajaan termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan merintis usaha mewujudkan hotel berdasar patuh syariat bertaraf empat bintang.

Menurutnya hotel tersebut boleh menyediakan perkhidmatan yang mampu memuaskan hati pelanggan berdasar tuntutan agama.

Zamri pula berkata MPKB BRI merancang bagi memunggut hasil sehingga RM100 juta setahun pada tahun 2020.

Katanya, kutipan hasil yang dipunggut MPKB BRI sekarang sekitar RM57 juta hingga RM60 juta setahun.

Pada majlis tersebut dua wakil PKR, Nor Hanazalmah dan Abu Samah Hassan dilantik sebagai ahli majlis MPKB BRI. Dua wakil kaum yang turut dilantik Lim Guan Seng dan Chia Chin Chua. - HARAKAHDAILY 17/1/2016     

Share on Myspace