Polis tak sebut secara spesifik tempat sasaran pengganas

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyebut secara spesifik tempat-tempat yang menjadi sasaran pengganas di negara ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datin Asmawati Ahmad berkata kenyataan media Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Jumaat lepas hanya menyebut bahawa polis akan mempertingkat pengawasan dan kawalan keselamatan di tempat tumpuan awam bagi menjamin keselamatan masyarakat.

Susulan itu, timbul pelbagai kenyataan di media sosial yang menyebut secara khusus beberapa tempat yang kononnya telah disahkan menjadi sasaran kumpulan pengganas untuk melakukan serangan di Malaysia.

"PDRM memandang berat penyebaran berita sebegini kerana ia telah membangkitkan kegusaran dan ketakutan masyarakat.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dan berhenti daripada berkongsi berita yang boleh membangkitkan keresahan, khususnya yang bukan dikeluarkan oleh agensi keselamatan negara," kata Asmawati.

Khamis lalu, sekurang-kurangnya tujuh orang disahkan maut dalam insiden letupan bom dan tembakan di kawasan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jakarta.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini menghubungi polis mengenai penemuan dua beg yang ditinggalkan di bawah kerusi tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata anggota Unit Pemusnah Bom dikejarkan ke lokasi dan pemeriksaan mendapati kedua-dua beg itu mengandungi pakaian.

"Pemilik beg merupakan dua pelancong wanita warga Korea Selatan. Mereka meninggalkan beg itu kerana hendak membeli-belah sebelum datang semula mengambilnya kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Zainol berkata polis berpuas hati dengan hasil pemeriksaan dan soal siasat yang dilakukan dan melepaskan mereka. - Bernama

Share on Myspace