Hotel, restoran penyumbang terbesar buang makanan?

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

KITA sering mendengar isu keselamatan makanan (food security). Bayangkan betapa ngeri memikirkan jika dunia dan manusia di dalamnya ketiadaan atau kehabisan makanan.

Akan tetapi, dalam masa yang sama jutaan ton makanan menjadi sisa yang dibuang disebabkan budaya kepenggunaan kita yang tidak terkawal, tanpa batas.

Apabila makanan dibazirkan menjadi sisa, dua lagi sumber penting sebenarnya dibazirkan bersama iaitu, tenaga yang diguna untuk menghasilkan makanan dan air untuk juga menghasil dan memasak makanan.

Dianggarkan sepertiga (1.3 bilion ton) makanan setahun yang dihasilkan secara global untuk konsumsi manusia dibazirkan sebagai sisa buangan, mengikut kajian yang dikomisyenkan oleh Badan Makanan dan Pertanian dunia  (FAO).

Kajian Pembaziran dan Kehilangan Makanan Global (Global Food Losses and Food Waste), oleh Institut Makanan dan Bioteknologi Sweden (Swedish Institute for Food and Biotechnology), mendedahkan negara industri dan negara membangun membuang 670 juta ton makanan dalam tong sampah setiap tahun.

Kajian juga menunjukkan pengguna di negara-negara kaya setiap tahun membazir makanan menjadi sisa buangan sehingga 222 juta ton, sama dengan makanan yang dihasilkan oleh seluruh benua sub Sahara Afrika. "Jumlah makanan yang menjadi sisa buangan atau yang hilang, bersamaan dengan lebih setengah daripada hasil bijiran dunia" dilaporkan oleh kajian tersebut.

Laporan itu yang membezakan antara kehilangan makanan (food looses) dan pembaziran makanan (food waste), mendedahkan kehilangan makanan berlaku pada tahap pengeluaran - tuai, pasca tuai dan tahap memproses makanan - kehilangan ini dialami di negara membangun kerana kekurangan infrastruktur, teknologi yang rendah dan pelaburan yang rendah dalam sistem pengeluaran makanan.

Manakala pembaziran makanan, yang lazim berlaku di negara industri yang maju - disebabkan oleh peruncit dan pengguna yang membuang makanan yang boleh dimakan ke dalam bakul sampah.

Dianggarkan pembaziran perkapita oleh pengguna antara 95 kg hingga 115 kg setahun di Eropah dan Amerika Utara , manakala di sub-Sahara Afrika dan juga Asia Selatan dan Asia Tenggara membuang 6kg-11kg setahun.

Malaysia membazir sehingga 8,000 ton atau 8 juta kg makanan sehari. Jumlah ini boleh memberi makanan kepada 6 juta orang.

CEO Syarikat Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan Awam (SWCorp), Datuk Abdul Rahim Md Noor menyatakan kos mengendalikan sisa pepejal mencecah berbilion ringgit. Sisa pepejal yang paling tinggi ialah sisa makanan iaitu 45% dari semua sisa pepejal. Kos beberapa negeri yang memberi syarikat itu mengendalikan sisa pepejal berjumlah 1.4 bilion ringgit pada tahun 2014.

Beliau menyebut bahawa peratus sisa makanan meningkat 15-20% semasa musim perayaan.

Setiap bulan Ramadan setiap tahun sekurang-kurangnya 270,000 ton (9,000 ton setiap hari) makanan terbuang. Makanan terbuang ini boleh memberi makan kepada 180 juta orang, enam kali ganda populasai negara sekarang iaitu 27 juta. Buangan makanan sebanyak ini, 9,000 ton sehari boleh memberi makanan  kepada lebih 6 juta orang.

Jika sisa makanan ini dihimpunkan ia boleh menjadi setinggi 30 kali lebih tinggi bangunan KLCC.

SWCorp mengendalikan sisa pepejal untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pahang, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.               

Jika diperhatikan Malaysia adalah syurga makanan, namun dalam masa yang sama juga adalah negara pembuangan makanan yang sangat lumayan.

Negara ini menghasilkan sekitar 15,000 ton makanan dan sisa dapur setiap hari - cukup untuk memenuhi 7.5 padang bola atau memberi makanan kepada 7.5 juta orang sehari.

Angka ini meningkat dari tahun 2011 . Sebelum itu 930 ton makanan yang tidak dimakan dibuang setiap hari . Angka ini melebihi dua kali ganda dari tahun 2000.

Di Kuala Lumpur sahaja, sisa makanan mencecah 3,000 ton sehari, manakala di Pulau Pinang pula 355 ton makanan di buang setiap hari.

Daripada jumlah yang dibuang, antara 10% sehingga 15% adalah makanan yang tidak dimakan dan yang telah luput tarikh.

Ada tabiat yang menjadi penyebab kenapa ini berlaku. Pengguna menganggap membazir dan membuang makanan bukan isu besar. Sedangkan ia tidak sahaja menjejaskan ekonomi keluarga malah juga ke atas alam sekitar.

Sebenarnya kehilangan makanan banyak berlaku dari ladang sehingga kepada pengguna. Mengikut kajian PBB, sepertiga dari apa yang ditanam diladang tidak sampai kepada pengguna.

Turut membazir apabila makanan hilang atau menjadi sisa buangan ialah tenaga (pelbagai tenaga: elektrik, minyak, manusia), sumber air, baja dan input yang lain yang diguna untuk menghasilkan makanan tetapi akhirnya tidak dimakan.

Rakyat Malaysia kini semakin hidup dalam keadaan berlebihan. Tabiat makan sangat tinggi. Tidak ada negara yang mempunyai sebanyak restoran dan warong makan 24 jam seperti Malaysia.

Sementara kos sara hidup meningkat dan diresahi warga Malaysia, sayangnya sikap tidak cermat dan membazir juga menjadi ciri budaya pengguna Malaysia. Makanan hilang dalam tahap pengeluaran, menuai dan pasca tuai serta juga ketika memproses didapati tinggi. Tetapi jika dibanding dengan makanan dibazirkan ketika berada ditangan pengguna, jauh lebih tinggi.

Daripada 30,000 ton sisa pepejal yang diasingkan setiap hari oleh isi rumahtangga Malaysia , 45% adalah sisa makanan.

Sisa buangan makanan dikategorikan kepada empat jenis: pertama sisa dapur (makanan yang dibuang sebelum dimasak), kedua saki baki makanan (makanan yang tidak dimakan selepas dimasak), ketiga makanan yang luput tarikh (makanan yang sampai tarikh dan tidak selamat dimakan) dan akhirnya keempat makanan yang dibazirkan (makanan yang maseh baik tetapi dibuang kerana berlebihan).

Dari 45 % sisa makanan yang dibuang di kawasan buangan, 10-15% adalah makanan yang masuk dalam jenis keempat, bermakna makanan yang masih boleh dimakan tetapi dibuang.

Hotel dan restoran 5 bintang adalah penyumbang terbesar pembuangan makanan.

Satu hingga dua ton makanan dibuang setiap hari dari hotel dan restoran 5 bintang. Berdasarkan angka ini, langkah drastik perlu dilakukan. Sikap pengguna Malaysia tidak hanya terbentuk dengan kesedaran.

Langkah menghukum perlu dilaksanakan secara undang-undang. Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal perlu serius menjalankan tugasnya untuk membendung gejala pembaziran makanan di negara ini. Pihak kerajaan harus menghentikan acara yang menghidangkan makanan yang terlalu banyak dan akhirnya membazir.

Jamuan ketika mesyuarat, seminar, perayaan rasmi, persidangan dan kursus yang dianjurkan oleh kerajaan perlu dikawal daripada pembaziran.

Sementara itu diperingkat masyarakat, pembaziran makanan dalam pelbagai acara sosial seperti kenduri, sambutan perayaan, hidangan pada bulan Ramadan hendaklah dibendung. Tabiat makan yang tidak terkawal sama ada di rumah mahupun di luar rumah perlu dididik agar mengelak pembaziran.

Pendidikan mengenai larangan dan kejelekan membazir makanan perlu diterapkan dari peringkat pendidikan awal sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Peraturan untuk pelajar tidak membazir makanan hendaklah dikuatkuasakan sehingga disiplin mengawal tabiat makan dalam kalangan mereka dipupuk setiap masa.

Jika pengguna Malaysia tidak mahu berhadapan dengan realiti suatu ketika nanti apabila negara akan mengalami krisis makanan yang kritikal, dan mengulangi tragedi rusuhan makanan seperti yang pernah berlaku dibeberapa negara yang lain, pembaziran makanan perlu dikekang serte-merta. – HARAKAHDAILY 18/1/2016

Share on Myspace