Sejarah: Ahli PAS dibunuh dalam PRK Padang Terap

HARAKAHDAILY | .

AHLI PAS DIBUNUH DALAM PILIHAN RAYA KECIL PADANG TERAP (18 JANUARI 1985)

PADA hari ini dalam tahun 1985, seorang ahli PAS, saudara Othman Talib telah dibunuh oleh penyokong BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Padang Terap, Kedah.

Othman Talib dan beberapa ahli PAS telah diserang dalam keganasan penyokong BN yang membunuh dan mencederakan ahli-ahli PAS.

Pilihan Raya Kecil Padang Terap diadakan pada 19 Januari 1985 setelah perlantikan Ahli Parlimen Padang Terap, Tan Sri Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabuddin, yang juga bekas Menteri Besar Kedah sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka pada 4 Disember 1984.

PAS telah meletakkan Ustaz Abdul Halim Arshat sebagai calonnya menentang calon BN, Baharom Abu Bakar dan dua calon Bebas yang dimenangi oleh calon BN dengan majoriti 5,702 undi.

Pilihan raya kecil ini diadakan dalam suasana tegang kerana Umno terpalit dengan isu BMF, isu Mantoya yang menjatuhkan Datuk Syed Nahar dan perbalahan Umno dengan MCA yang menyebabkan Umno menyerang PAS dengan isu kafir-mengkafir.

Suasana politik diwarnai dengan isu Debat PAS-Umno yang terakhir dengan perisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada 8 November 1984 yang membatalkan debat tersebut.

Pada 9 November 1984, kerajaan membentangkan kertas putih bertajuk 'Ancaman Kepada Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara' di Dewan Rakyat yang secara langsung mengaitkan PAS sebagai ancaman kepada Perpaduan umat.

Pada 3 Disember 1984, Majlis Raja-raja telah memperakukan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan perbuatan mengkafirkan sesama Islam yang berlaku antara PAS dan Umno. Dalam konflik inilah berlakunya pilihan raya kecil tersebut.

Tragedi berdarah yang berlaku pada 18 Januari 1985 ini terjadi di Felda Lubuk Merbau yang membunuh Othman Talib dan mencederakan Ibrahim Tahir, Nasir Muhamad, Shamsuddin Sulaiman, Ayub Mat Shah dan Ahmad Tahir akibat diserang oleh 200 penyokong BN.

Menurut Ustaz Fadzil Mohd Noor, Pengarah Pilihan Raya Kecil Padang Terap yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, tragedi ini berlaku kerana serangan penyokong BN yang bertindakan ganas dan menggunakan kekerasan, sedangkan polis membiarkan sahaja kejadian tersebut untuk kepentingan BN.

Tragedi 18 Januari 1985 ini menurut Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa dalam Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Kalu Ke-31 pada 14-16 April 1985 akan membakar semangat jihad ahli-ahli PAS dalam perjuangan menegakkan Islam.

Kematian Othman Talib menurut beliau adalah satu syahid, dan ini menunjukkan PAS telah sampai ke tahap mengorbankan nyawa dalam perjuangannya, iaitu satu tuntutan dalam mencapai kemenangan Islam.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
18 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 18/1/2016

Share on Myspace