TPPA: Perjanjian bebas yang mengikat

SYAHIR SULAIMAN | .

TPPA adalah sebuah perjanjian perdagangan bebas (FTA), iaitu perjanjian antara dua negara atau lebih, di mana negara-negara ahli kepada perjanjian memberikan layanan yang lebih baik sesama sendiri berbanding dengan negara bukan ahli.

TPPA melibatkan 12 buah negara di rantau Lautan Pasifik, iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Canada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, dan Vietnam. Ia bakal muncul sebagai sebuah blok ekonomi terpenting di dunia, bagi menyaingi kebangkitan gergasi ekonomi dunia yang baru, iaitu Brazil, Rusia, India dan China (BRIC).

Yang membezakan TPPA dengan FTA tradisional adalah kerana skop perjanjian TPPA yang lebih komprehensif dan meluas, meliputi aspek harta intelek, tender kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, buruh, dan alam sekitar, berbanding skop yang biasa terkandung dalam FTA, meliputi aspek ekonomi dan pelaburan sahaja.

Rundingan TPPA telah pun dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015 di Atlanta (tiada pindaan dibenarkan) dan bakal ditandatangani pada Februari 2016 di New Zealand, diikuti tempoh ratifikasi selama dua tahun (2016-2018) untuk setiap negara meminda undang-undang bagi mematuhi peraturan yang terkandung dalam TPPA, seterusnya memberi jalan kepada penguatkuasaan TPPA kepada negara anggota selewatnya pada tahun 2018.

Keuntungan yang tidak pasti.

Kerajaan menyedari bahawa penyertaan dalam TPPA pastinya akan ada yang menang dan kalah. Namun, kerajaan berpendapat bahawa faedah penyertaan dalam TPPA lebih banyak daripada keburukan, antaranya:

1. Akses pasaran

Malaysia bakal mendapat manfaat dari aspek ekonomi yang ditawarkan oleh TPPA – saiz pasaran yang lebih luas melibatkan 800 juta penduduk dengan jumlah KDNK bernilai USD27.5 trilion (40% KDNK dunia).

Hakikatnya, jika dilihat secara terperinci, pasaran TPPA bakal didominasi oleh pasaran Amerika Syarikat - KDNK bernilai USD17.4 trilion atau 62%, berbanding 38% saiz KDNK oleh 11 buah negara yang lain. Manakala Malaysia adalah terlalu kerdil, dengan saiz pasaran hanya 1% daripada keseluruhan pasaran TPPA (USD0.3 trilion).

Justeru, tiada keperluan untuk Malaysia menyertai TPPA dan sewajarnya Malaysia meningkatkan kerjasama sedi ada dalam 13 FTA yang tidak terlalu mengikat - 6 menerusi ASEAN dan 7 secara bilateral, di samping meneroka pasaran baru sesama negara anggota OIC, tanpa melibatkan Amerika Syarikat sebagai watak dominan dalam sebarang perjanjian dagangan dan mengekalkan polisi ‘mesra kepada semua’ dalam pentas diplomatik antarabangsa.

2. Pertumbuhan ekonomi

PriceWaterhouseCoopers (PWC), firma yang dilantik oleh Kerajaan bagi menjalankan kajian kos dan manfaat terhadap negara meramalkan penyertaan Malaysia dalam TPPA membawa manfaat kepada ekonomi dengan peningkatan dalam pertumbuhan KDNK, pertambahan pelaburan serta import dan eksport.

Menariknya, kajian yang dijalankan oleh PWC ini hanya mengemukakan manfaat jika Malaysia menyertai TPPA dan kerugian jika Malaysia tidak menyertai, tetapi gagal memberi gambaran menyeluruh kerugian jika Malaysia menyertai TPPA.

Kajian PWC mendapati sektor yang bakal mendapat manfaat adalah perniagaan yang berorientasikan eksport seperti tekstil, komponen automotif, dan elektrikal & elektronik (dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah).

Manakala sektor yang bakal mendapat kesan negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca-TPPA seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat tempatan.

Malah, PWC mengunjurkan impak TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah terlalu besar – hanya menyumbang kenaikan 1.15% KDNK dan kenaikan 0.9% eksport negara, satu lonjakan yang sangat rendah dan tidak signifikan kepada ekonomi negara yang berkembang pada kadar 4%-6% setahun.

3. Impak sosio-ekonomi

Beberapa sarjana ekonomi seperti Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram dan Prof. Joseph Stiglitz berpendapat Malaysia tidak akan mendapat apa-apa kelebihan dari segi ekonomi, sebaliknya penyertaan dalam TPPA akan menyebabkan kerugian kepada negara.

Kerugian ini antara lainnya berpunca dari eksport negara berkurangan dan import akan meningkat, di samping akan terus melebarkan jurang pendapatan (income inequality) dalam negara.

Kajian yang dijalankan oleh pihak Kerajaan, samada oleh ISIS dan PWC tidak menggariskan secara terperinci kesan langsung TPPA kepada aspek sosio-ekonomi rakyat, khususnya dua isu utama yang membebankan rakyat iaitu kos sara hidup dan kadar hutang yang tinggi (87% KDNK), kesan daripada pelaksanaan GST dan kejatuhan nilai mata wang ringgit.

Malah, PWC turut menyatakan bahawa akan ada perubahan struktural oleh pihak kerajaan dan swasta bagi menyesuaikan operasi dan perniagaan pasca-TPPA. Ini bermakna rakyat akan menerima kenaikan kos secara langsung dan tidak langsung, sebagaimana yang telah dihadapi rakyat pasca pelaksanaan GST.

Berdasarkan kepada tiga pertimbangan ini, ia menunjukkan bahawa tiada keperluan untuk Malaysia terikat dengan perjanjian TPPA yang tidak menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan tidak membawa manfaat yang besar kepada ekonomi negara, berbanding risiko dan kerugian yang tidak dapat dipastikan.

Justeru, tindakan kerajaan untuk menyertai TPPA dalam keadaan untung dan rugi yang tidak pasti, adalah umpama kita menandatangani cek kosong untuk diserahkan kepada pihak broker, dan broker tersebut adalah Amerika Syarikat yang sangat kita kenali. – HARAKAHDAILY 18/1/2016

Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM

Share on Myspace