Pengganas: Tindakan kepada penyebar naklumat tak sahih

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja termasuk orang kenamaan yang menyebar maklumat tidak sahih mengenai ancaman pengganas di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perbuatan seperti itu boleh menimbulkan kegelisahan serta ketakutan di khalayak orang ramai.

"Saya beri amaran pada semua pihak supaya tidak berkongsi mana-mana berita yang tidak sahih mengenai ancaman pengganas di media sosial. Ini termasuklah memetik sumber kerana ia serupa menyebarkan khabar angin," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Khalid berkata mereka yang ingin kepastian dan pengesahan terhadap sesuatu perkara perlu merujuk kepada laporan yang sahih.

"Perbuatan menyebarkan laporan yang tidak sahih di media sosial bukanlah bahan gurauan yang boleh dibuat main oleh mana-mana pihak kerana ia merupakan sesuatu yang serius dan boleh diambil tindakan," kata Khalid.

"Bagi menangani kegiatan ini, polis akan sentiasa memantau media sosial dan media dalam talian selain bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Khalid berkata orang ramai perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kegiatan disyaki berkaitan pengganas di tempat mereka.

Ditanya jika undang-undang yang ada sekarang mencukupi untuk menangani ancaman pengganas, Khalid berkata ia percaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) sudah cukup kuat.

Pada masa yang sama beliau berkata polis meningkatkan kawalan keselamatan di tempat-tempat tumpuan awam bagi meyakinkan masyarakat bahawa keselamatan mereka terjamin. - Bernama

Share on Myspace