Dasar Umno BN sempitkan masa depan pesawah

IZWAN ABDUL HALIM | .

NASI yang menjadi makanan ruji penduduk rantau Asia termasuk Malaysia masih merupakan antara bekalan import lantaran penghasilan pengeluarannya belum dapat memenuhi keperluan rakyat negara ini. Sungguhpun Almarhum Tun Abdul Razak Hussein pernah menghasratkan sasaran penghasilan 90 peratus bekalan beras bagi memenuhi keperluan penduduk tatkala ia dilontarkan pada tahun 1971, namun hingga kini iaitu selepas 45 tahun, ia masih jauh untuk dipenuhi.

Walaupun Kerajaan Persekutuan mewujudkan pelbagai agensi berkaitan, juga dibantu oleh pihak kerajaan negeri, selain kajian dan perhatian khusus menerusi pelbagai penyelidikan termasuk di institusi pengajian tinggi, ia bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Semuanya angkara ‘dasar’ BN selaku pemerintah yang sering mengerah tenaga empat kerat rakyat, turut menjadikan pesawah sebagai sasaran untuk memeras kekayaan. Di atas jerih perit para pesawah, banyak pihak yang mengaut keuntungan, sedangkan pesawah kekal hidup penuh kepayahan dan kesusahan serta di bawah paras kemiskinan.

Apatah lagi dengan kekayaan melampau elitis politik bersama kroni dan keluarga mereka, sudah dirasakan cukup untuk membeli segala-galanya. Tidak pernah punya rasa kebimbangan terhadap kecukupan bekalan beras kerana menganggap semuanya boleh dikuasakan dengan wang. Maka terabai jugalah golongan pesawah yang memerah keringat memastikan pengeluaran beras bagi sesuap nasi untuk rakyat negara ini.

Bahkan, di sebalik pembangunan yang banyak mengorbankan tanah-tanah sawah, penanaman padi juga dilingkungi pelbagai masalah. Malang sekali kerana perjuangan para pesawah tidak pernah diberi perhatian dan dihargai, sedangkan peranan mereka juga menjadi sebahagian daripada keselamatan awam. Tanpa beras, negara ini sudah boleh dianggap terancam.

Hari ini pertanian penanaman padi langsung tidak menarik generasi baru untuk menyambung legasi terdahulu. Pendapatan daripada penat lelah mengusahakan penanaman padi tidak menghasilkan pulangan yang boleh membiayai kehidupan serba mahal sekarang ini. Para pesawah benar-benar tersepit antara memenuhi keperluan hidup dengan semangat patriotik yang masih mensuci dalam diri.

Antara isu yang masih berlegar dalam kalangan pesawah adalah kadar subsidi masih tidak berubah sejak sekian lama. Ketika sama, kos pengeluaran kian meningkat di samping polisi yang mencekik pesawah.

Misalnya potongan baru pemutuan sebanyak 25 peratus, malah terdapat aduan pesawah pernah dikenakan sehingga 43 peratus. Kerajaan pula mengumumkan harga siling RM1,200 setan sedangkan pesawah menuntut harga lantai serendah RM1,350 setan.

Industri beras pula terus dimonopoli syarikat swasta iaitu BERNAS, tetapi penanaman padi masih dilakukan sama ada secara sendiri atau dengan bantuan agensi kerajaan. Kecukupan bekalan makanan negara belum terjamin kerana fungsi BERNAS hanya berfokus kepada perniagaan iaitu atas keperluan ‘penawaran dan permintaan’. Sedangkan usaha di pihak pesawah dan agensi berkaitan lebih kepada soal tanggung jawab di mana berusaha ke arah meningkatkan pengeluaran.

Dengan lambakan masalah dihadapi pesawah serta kesungguhan agensi berkaitan disamping polisi yang tidak memihak, sememangnya usaha ke arah meningkatkan pengeluaran padi seperti dihasratkan Allahyarham Tun Razak sangat mustahil menjadi kenyataan.

Kos penanaman kian tinggi, masalah pengairan dan tanah serta jentera tidak pernah selesai, kehadiran penyakit-penyakit yang merencatkan penghasilan, projek penanaman lima kali dalam dua tahun tidak dijayakan sebaiknya dan kerajaan tidak mengendahkan pertukaran status tanah sawah kepada pembangunan, menjadi hujah kukuh terhadap perkara itu.

Jadual Pendapatan Pesawah

Purata Padi Dituai

10 tan

Potongan Pemutuan

25%

Beras Bersih

7.5 tan

Harga Padi

RM1,200/tan

RM9,000

Subsidi

RM248.10/tan

RM1,860.75

Jumlah Pendapatan

RM10,860.75

 

 

 

Modal Pajak

RM700

 

Upah Racun & Baja

RM500

 

Upah Mesin

RM300

 

Sewa

RM2,400

 

Jumlah Kos

RM3,900

Pendapatan Sekali Tuaian

RM5,650.75

Kemampuan Penanaman

2 kali setahun

Pendapatan Bulanan

RM941.79

 Secara purata, pesawah kini memperolehi pendapatan RM941.79 sebulan. Namun, jumlah tersebut dalam realiti sekiranya tidak mengalami sebarang masalah seperti penyakit dan seumpamanya yang menyebabkan hasil berkurangan. Hakikatnya juga terdapat pesawah yang memperoleh lebih rendah daripada itu disebabkan keluasan petak sawah diusahakan kecil. Perkara itu bukanlah disebabkan pesawah tiada kudrat mengusahakan tanah sawah yang luas, tetapi sememangnya kerana tanah sawah semakin berkurangan.

Tentunya dengan jumlah pendapatan sedemikian dan kos sara hidup kian meningkat kini, ditambah realiti keluarga petani yang mempunyai anak atau tanggungan ramai, menyebabkan bebanan dan penanaman padi tidak lagi efektif untuk jaminan hidup masa depan.

Akhirnya, apakah yang akan terjadi kepada tanah-tanah sawah? – HARAKAHDAILY 19/1/2016

Share on Myspace