Tarik balik novel Pantai Kasih, tuntut minta maaf

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyatakan kekesalan dan kekecewaan dengan pemilihan novel Pantai Kasih sebagai teks sastera pelajar tingkatan empat.

Pemilihan novel ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati oleh pelbagai pihak terutamanya ibu bapa yang semakin risau dengan kualiti pendidikan anak-anak mereka.

Tambahan pula, penonjolan lucah dan materialism yang akan merosakkan minda para pelajar.  

Malah, pemilihan novel ini oleh pihak panel pemilih dan Pusat Perkembangan Kurikulum telah melihatkan satu pencabulan terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta rakyat yang berakhlak mulia. Ternyata pemilihan novel ini bukan satu yang bijak.

DPPM dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil tindakan untuk mengadakan pertemuan dengan panel pemilihan novel dan juga akan mengadakan mesyuarat pengurusan tertinggi untuk memutuskan keputusan berkaitan isu tersebut.

Oleh itu, DPPM menggesa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia yang diketuai oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk segera memohon maaf dan memutuskan menarik balik novel tersebut dan menggantikan dengan novel yang lebih bermoral dan mempunyai nilai yang lebih baik untuk dicontohi.

DPPM mengharapkan pendidikan negara kita perlu diberikan penekanan dan penelitian semaksima mungkin bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi.

Akhirnya DPPM, mengucapkan tahniah buat seluruh rakyat Malaysia yang semakin peka terhadap kualiti pendidikan negara kita.

HISHAMMUDIN MUSTAPHA
Pengarah Jabatan Pembangunan Pelajar DPPM - HARAKAHDAILY 19/1/2016

Share on Myspace