Bantah TPPA: Bimbang masa depan anak-anak kita

HARAKAHDAILY | .

Ayuh ke himpunan aman Bantah TPPA

Perjanjian “Trans-Pacific Partnership Agreement” (TPPA) hari ini sedang melalui proses domestik iaitu suatu prosedur dalaman negara Malaysia sebelum meluluskan keputusan sama ada Malaysia bersetuju atau tidak untuk menyertai TPPA ini yang dijangka akan ditandatangani pada 4 Februari 2016.

Setelah rundingan TPPA tamat pada 5 Oktober 2015 tahun lalu, kronologi prosedur domestik ini telah melibatkan beberapa urusan seperti pendedahan teks TPPA setebal 6,000 muka surat pada 5 November 2015 dan seterusnya pada 3 Disember 2015.

Teks TPPA serta 2 dokumen Analisa Kajian Kepentingan Negara iaitu “Cost Benefit Analysis” (CBA) dan “National Interest Analysis” (NIA) telah diserahkan pada semua ahli Parlimen untuk dinilai sebelum sesi perbahasan Parlimen yang dijadualkan pada 26 dan 27 Januari 2016 ini.

Pada 12 Januari 2016, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah mengeluarkan sebuah buku ringkasan edisi Bahasa Melayu mengenai TPPA bertajuk Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik (TPPA) “Jawapan kepada Kebimbangan, Salah Faham dan Tuduhan”.

Kandungan buku ringkasan setebal 81 mukasurat itu bagaimanapun tidak berjaya menjawab segala kegusaran yang telah dikemukakan oleh pelbagai dari segenap bidang yang terkandung dalam TPPA itu.

Walaupun justifikasi analisa 2 pihak : “Institute of Strategic International” (ISIS) dan Price Waterhouse Coopers (PWC) seolah-olah memberi manfaat kepada perdagangan Malaysia berikutan lonjakan aktiviti eksport yang lebih meluas, namun ianya sangat berisiko tinggi untuk terdedah kepada sebarang ketidaktentuan keadaan ekonomi masa depan selain merugikan negara membangun seperti Malaysia kerana harga eksport komoditi utama lebih murah daripada harga import barang siap.

Tambahan pula, 6 jenis pasaran eksport yang dinyatakan di halaman 31 dalam buku ringkasan TPPA Edisi Bahasa Melayu itu bukanlah sektor utama yang boleh menjamin keuntungan bagi Malaysia apatah lagi bagi memulihkan bebanan hutang negara yang semakin tinggi saban tahun.

Dalam pada itu, penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar berkenaan isu penjajahan negara tidak akan berlaku, dilihat bercanggah dengan Prinsip Islam di dalam bab Hukum Kedaulatan - “احكام سيادة” kerana salah satu peraturan yang diguna pakai di dalam TPPA adalah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur Negara - “Investor to State Dispute Settlement” (ISDC) yang mengatasi kuasa mahkamah Persekutuan Malaysia.

Apakah peraturan konventional ISDC yang bersifat sekular itu mampu bertoleransi dengan kedaulatan negara Malaysia terutamanya hak-hak yang melibatkan sensitiviti agama rasmi Malaysia ini?

Dalam pada itu, tindakan pihak kerajaan dilihat giat menjalankan kempen penerangan berkenaan kebaikan dan manfaat TPPA kepada Malaysia memberi signal bahawa kerajaan Malaysia telahpun mempunyai pendirian untuk bersetuju menandatangani perjanjian konspirasi korporat ini walaupun pelbagai pakar telah mengemukakan analisa bahawa TPPA ini banyak membawa kesan buruk berbanding manfaat.

Hal ini bercanggah dengan Kaedah Fiqh Muwazanah iaitu kaedah pertimbangan dalam membuat keputusan apabila berhadapan dengan pilihan mendahulukan perkara baik yang tiada risiko berbanding perkara paling baik tetapi mempunyai risiko.

Justeru, saya dengan ini menyeru kepada semua rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama turun menyertai Himpunan Aman Bantah TPPA pada Sabtu ini, 23 Januari 2016, jam 2.00 petang bertempat di Dataran Merdeka.

Saya sangat berharap kehadiran kita dengan berpakaian HIJAU FASTAQIM memberi signal bantahan secara aman dalam usaha kita menzahirkan kebimbangan masa depan generasi anak-anak kita apabila TPPA ini dilaksanakan.

Saya juga suka untuk menasihatkan diri saya dan semua peserta himpunan untuk membuat persedian mental dan fizikal lantaran keadaan negara ketika ini yang dilanda gejala cuaca el-nino, iaitu keadaan cuaca terlampau panas.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

Wallahua’lam.

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
9 Rabiul Akhir 1437 / 19 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 19/1/2016

Share on Myspace