Pengubahsuaian Bajet 2016, apa harapan rakyat?

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengambil maklum berkenaan pengubahsuaian Bajet 2016 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 28 Januari 2016.

Kami berpandangan langkah Kerajaan ini agak terlewat kerana sepatutnya penilaian dan anggaran yang lebih menepati realiti perlu diambil kira ketika proses menyiapkan Bajet 2016 ini dahulu.

Trend kejatuhan harga minyak global dan penyusutan nilai Ringgit berbanding dolar Amerika sudah pun berlaku secara konsisten sebelum, semasa dan selepas Bajet 2016 dibentangkan.

Pada tahun 2013, PM Najib sudah pun mengumumkan 11 Langkah Penjimatan Belanja Kerajaan berkuatkuasa 1 Januari 2014, kemudian PM Najib mengumumkan Penstrukturan Bajet 2015 pada 20 Januari 2015.

Pada Januari 2016 ini, PM Najib akan mengumumkan Pengubahsuaian Bajet 2016 pula.

Kerajaan Persekutuan terpaksa menyemak semula Bajet asal yang mengunjurkan anggaran perbelanjaan RM267.2 bilion dengan RM215.2 bilion darinya untuk mengurus (81%) dan RM52 bilion lagi untuk pembangunan (19%) dengan anggaran defisit fiskal 3.1%.

Akibat daripada kejatuhan harga minyak global, penyusutan pendapatan Kerajaan dijangka melebihi RM 30 billion.

Justeru, DPPM menggesa pihak kerajaan untuk memastikan Pengubahsuaian Bajet 2016 yang akan diumumkan itu nanti perlulah selaras dengan tema Bajet asal iaitu “Mensejahtera Kehidupan Rakyat”.

Sebelum rakyat yang dijadikan mangsa, Kerajaan sendiri sepatutnya terlebih dahulu menjadikan amalan berjimat-cermat sebagai langkah tauladan yang perlu diikuti.

Rakyat sudah cukup muak apabila setiapkali Laporan Audit Negara dibentangkan pastinya terdedah segala macam bentuk penyelewengan, kebocoran, dan pembaziran wang dana awam.

Kerajaan sering berbelanja besar dalam perbelanjaan mengurus sedangkan perbelanjaan pembangunan untuk rakyat hanya pada kadar 19% daripada Bajet 2016.

Antara lain harapan rakyat dalam  Pengubahsuaian Bajet 2016 ialah kerajaan perlu menilai kembali dan menangguhkan sementara projek mega yang kurang memberi manfaat secara terus kepada rakyat.

Wang yang dijimatkan itu boleh disalurkan dalam mekanisme yang lebih efektif kepada golongan sasaran yang memerlukan.

DPPM dengan tegas mengingatkan Kerajaan agar tidak sesekali menaikkan kadar cukai GST.

Hal ini kerana, pada kadar 6% GST sekarang pun ia sudah begitu membebankan rakyat maka usahlah ditambah lagi derita sengsara rakyat.

Sungguhpun kerajaan amat berbangga dengan pelaksanaan GST yang dikatakan bermanfaat dan membantu mengisi kantung pendapatan negara bagi berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia, tetapi pada hakikatnya rakyat lah yang menjadi mangsa terbeban dengan GST ini.

Amatlah besar harapan rakyat kepada kerajaan untuk turut mengambil kira rintihan dan luahan hati mereka dalam berhadapan situasi ekonomi yang kian mencabar ini.

Usah sesekali menjadikan rakyat sebagai mangsa  dalam sebarang langkah Pengubahsuaian Bajet 2016 kelak.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 19/1/2016

Share on Myspace