Azmil Mustapha dibenar keluar Hospital Putrajaya

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Pelakon era 80-an yang popular menerusi filem 'Ali Setan', Mohd Azmil Mustapha dibenar keluar hospital hari ini setelah dirawat di Hospital Putrajaya di sini untuk masalah jantung sejak Khamis lepas.

Adik bongsunya Mohd Aziph Mustapha dalam akaun laman sosial Facebook beliau memaklumkan, bagaimanapun pelakon berkenaan masih dalam keadaan agak lemah.

"Doktor pakar di sini (Hospital Putrajaya) mengesahkan yang abang boleh keluar dan diberi penjagaan rapi di rumah.

"Ubat-ubat telah dibekalkan dan jadual rawatan susulan dengan pelbagai doktor telah disiapkan," kata Mohd Aziph, 48, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia.

Catatan Facebook beliau turut memuatkan 10 keping gambar yang menunjukkan Mohd Azmil berkerusi roda diiringi anggota keluarga ketika meninggalkan Hospital Putrajaya.

Tambah beliau, Mohd Azmil, 63, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya semasa beliau dirawat di Hospital Putrajaya khususnya doktor, para jururawat dan semua petugas.

"Abang Azmil juga berhasrat membuat kenyataan media sendiri mengenai keadaan dirinya tidak lama lagi apabila keadaan membenarkan," kata Mohd Aziph.

Mohd Azmil terpaksa menggunakan alat ventilator dan diletakkan dalam keadaan 'tidur' di Unit Jagaan Koronari Hospital Putrajaya Khamis lepas selepas mengadu sesak nafas dan doktor mendapati jantungnya berada dalam keadaan lemah.

Bagaimanapun, pada Sabtu doktor pakar memberhentikan sepenuhnya alat ventilator dan mengurangkan dos ubat bius.

Selain, filem Ali Setan 1 dan 2, filem lain yang turut menaikkan nama Mohd Azmil di persada hiburan tanah air ialah Mekanik, Suara Kekasih dan Driving School. - Bernama

Share on Myspace