Bajet: Tinggalkan lebihan wang dalam poket rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengharapkan agar semakan Bajet 2016 yang akan diumumkan pada 28 Januari ini dapat meninggalkan lebihan wang di dalam poket rakyat dengan meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Katanya, jika kerajaan sendiri dengan segala sumber hasil pendapatan menghadapi masalah menguruskan negara kerana kekurangan pendapatan sudah tentu rakyat lebih lagi bermasalah kerana sejak sekian lama menghadapi kekurangan pendapatan boleh guna akibat kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

"Bayangkan bagaimana pekebun kecil dan penoreh getah dengan bergantung pendapatan pada harga getah kini RM1.80 untuk 1kg dan pesawah padi yang bergantung pendapatan pada harga padi bersama subsidi RM1.50; 1kg. Sedangkan harga beras RM2.20; 1kg dan ikan kembung RM14.00; 1kg. Pengubahsuaian bajet 2016 tidak bermakna kalau poket rakyat tak ada wang," katanya kepada Harakahdaily.

Mahfuz turut mencadangkan jumlah anggota "Kabinet Dapur" Najib dikecikan dari 35 kepada 15 hingga 19 orang sahaja.

Misalnya, kata beliau, mansuhkan penasihat dan Duta khas Perdana Menteri yang bertaraf Menteri serta kurangkan jawatan lantikan politik yang tidak menyumbang kepada pengukuhan kewangan dan ekonomi negara.

Selain itu tegasnya, membatalkan cadangan projek yang belum ditender dan menangguh projek yang belum ditandatangan serta pertingkatkan kawalan perbelanjaan seperti mana yang sering ditegur oleh ketua audit negara dan pertingkatkan usaha membanteras rasuah di sektor awam.

Tegas Mahfuz, penjimatan dalam pengurusan kewangan negara serta perbelanjaan tanpa ketirisan dan rasuah akan dapat membantu mengembalikan subsidi barangan keperluan rakyat yang telah dimansuhkan dan dikurangkan oleh kerajaan sebelum ini.

Kerajaan juga, jelas beliau sewajarnya mempertimbangkan tuntutan rakyat ekoran menerima beban akibat dari GST dengan paling tidaknya mengurangkan kadar GST dari 6% kepada 3 atau 4%.

"Ekoran harga minyak mentah berada pada harga USD28 satu tong atau 1 liter USD 0.177 bersamaan RM 0.78 1 liter, sewajarnya harga minyak runcit di pam diturunkan dan ini memberi peluang untuk rakyat merasai nikmat dari harga minyak dunia yang rendah.

"Bagi golongan pekerja, Kerajaan juga sewajarnya mempertimbangkan pengurangan 2% caruman individu pekerja dalam KWSP sehingga keadaan ekonomi pulih, serta mempertimbangkan pengurangan 2% cukai pendapatan individu untuk membolehkan lebihan wang dalam poket pekerja untuk menguruskan kehidupan rakyat yang sempit dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi," tambah beliau.

Namun, Mahfuz turut melahirkan rasa bimbang sama ada pengubahsuaian Bajet 2016 akan dapat meringankan beban hidup rakyat atau meringankan beban kerajaan dan pemimpin negara.

Katanya, apa yang dapat dilihat pengubahsuaian ini akan lebih menyelesaikan beban kerajaan untuk menampung kekurangan pendapatan negara.

"Semakan bajet ini juga akan meringankan beban sakit kepala PM Najib dan anggota kabinet dapur dari menanggung beban berfikir untuk mencari sumber pendapatan bagi menguruskan negara.

"Rakyat memerlukan kepimpinan negara yang cekap, bijak, bersih dan beramanah dalam pentadbiran dan pengurusan kewangan negara. Rakyat tak mahu PM Najib dan kabinet dapur yang kotor dan busuk dengan bangkai lipas dan tikus munduk," katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2016

Share on Myspace