Tabung Murobittun untuk kebajikan ahli PAS

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakat PAS menyeru ahlinya untuk menyertai Skim Kifalah PAS (Skimpas) sebagai persediaan awal bagi menghadapi saat-saat sukar yang diluar pengetahuan.

Ketuanya Dr Rosni Adam berkata, Skimpas ini dirangka sebagai usaha pihak parti melalui lajnah ini bagi membantu setiap pendokong dan ahli parti yang selama ini sentiasa istiqamah di dalam perjuangan Islam.

"Tujuan Skimpas ini untuk ahli dan warisnya. Kita sasarkan untuk enam bulan pertama seramai 10,000 ahli PAS dari seluruh negara.

"Kita telah menjalankan jelajah Kebajikan di seluruh negara untuk menggalakkan ahli kita menyertai skim ini. Paling tidak jika ada berlaku kecelakaan kita ada sesuatu untuk disumbangkan kepada ahli dan waris," katanya ketika ditemui.

Skimpas telah dirangka untuk disertai mereka yang berumur antara 18 tahun ke 59 tahun tanpa mengambil kira status kesihatan.

"Setiap waris akan mendapat RM3,500 sekiranya berlaku kematian biasa, manakala RM10,000 untuk kematian akibat kemalangan dan elaun hospital juga kerana kemalangan. Kita memang galakkan kepada ahli seperti Unit Amal dan ARC," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan sekolah kepada kakitangan Harakah di Galeri My Harakah Bazaar hari ini.

Menurut beliau bantuan ini merupakan sumbangan daripada Tabung Murobittun khusus kepada petugas parti.

"Di dalam tabung ini kita berhasrat untuk mempelbagaikan sumbangan seperti sagu hati, kecemerlangan anak-anak, jasamu dikenang, dan memberi skim kemahiran kepada ahli PAS di setiap peringkat," katanya.

Beliau turut mensasarkan dana sebanyak RM500,000 untuk enam bulan pertama dan sebagai  permulaan bagi tahun ini sumbangan bantuan persekolahan disalurkan untuk kakitangan Harakah dan Kakitangan Pejabat Agung PAS. – HARAKAHDAILY 20/1/2016

Share on Myspace