Forum PAN: PAS terikat arahan Majlis Syura

ASLANI M | .

Che Abdullah menunjukkan surat dihantar Cakna UT menjemput wakil PAS sertai forum agenda rakyat Kelantan.

KOTA BHARU: PAS Kelantan sedia menganjurkan forum agenda rakyat bersama pemimpin PAN sekiranya mendapat persetujuan PAS Pusat.

Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata buat masa ini PAS di setiap negeri perlu mematuhi ketetapan dibuat Majlis Syura Ulamak untuk tidak terlibat program membabitkan PAN tanpa kebenaran PAS Pusat.

Katanya berdasar kepada keputusan itu penglibatan seorang pemimpin PAS Kelantan dalam forum agenda rakyat anjuran PAN tidak berbangkit.

“Berdasar arahan Majlis Syura Ulama, PAS Kelantan buat masa ini tidak boleh menghantar wakil menyertai forum tersebut kerana ia melibatkan PAN.

“Tidak berbangkit PAS Kelantan takut untuk berforum dengan pemimpin PAN kerana kita perlu menghormati arahan dibuat Majlis Syura.

“Sekiranya mendapat keizinan dalam kes-kes tentu, PAS Kelantan sedia menganjurkan forum tersebut pada masa akan datang,” katanya di sini.

Sebelum ini menjadi viral di media baru kalangan penyokong PAN kononnya Ketua Penerangan PAS Kelantan Datuk Nassuruddin Daud takut untuk menghadiri forum agenda rakyat Kelantan anjuran Cakna UT.

Program tersebut yang disebar di merata tempat dijangka diadakan di Tunjung Banquets pada 9 malam 29 Januari ini. Panelis lain yang disenaraikan ahli Naib Pengerusi PAN Kelantan, Che Ibrahim Mohamed.

Selain itu majlis tertinggi Umno, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki, Adun Salor Datuk Husam Musa, pemimpin DAP Dr Abdul Aziz Bari dan moderator Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff.

Surat jemputan yang dihantar Cakna UT kepada Nassuruddin baru-baru ini hanya bertanda tangan nama Mat Black.

Che Abdullah juga berkata, Ustaz Nassuruddin tidak dapat hadir pada forum agenda rakyat kerana kebetulan pada tarikh sama beliau menghadiri program ceramah di Pasir Pekan Tumpat.

Surat makluman mengenai perkara sudah dihantar kepada pihak penganjur yang beralamat di Bangunan Suara Muda, Kota Bharu bertarikh 19 Januari lepas. - HARAKAHDAILY 201/1/2016

Share on Myspace