Tarik balik Pantai Kasih atau krisis moral lebih buruk

HARAKAHDAILY | .

LAJNAH Pendidikan, Dewan Muslimat PAS Malaysia (LAJPEN DMPM) memandang serius terhadap isu penggunaan teks sastera  atau novel komponen sastera (KOMSAS) dalam matapelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 4 yang mengandungi unsur-unsur keterlaluan, berbaur lucah dan tidak mencerminkan nilai agama yang luhur mahupun peradaban bangsa yang cemerlang.

Setelah meneliti novel tersebut, kami berasa sangat hairan bagaimana semudah itu, panel penilai atau pemilih yang bertanggungjawab memilih novel KOMSAS di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh memilih dan berlapang dada untuk menyajikan novel ‘Pantai Kasih’ kepada para pelajar seolah-olah melupakan Falsafah Pendidikan Negara dan realiti masyarakat hari ini.

Ilmu sastera yang perlu difahami ialah satu bentuk ilmu yang berkait dengan pembangunan aspek-aspek kemanusiaan dan kerohanian.

Disiplin ilmu ini sepatutnya menjadi salah satu saluran yang penuh dimensi untuk para pelajar membangunkan emosi dan rohani sejajar dengan ajaran agama dan nilai budaya.

Ilmu sastera sepatutnya sarat dengan pengajaran, nasihat dan hikmah yang membangun intelektual, rohani dan emosi.

Hairan dan sungguh hairan, apakah sebenarnya yang menjadi kayu ukur pemilihan teks sastera sedia ada pada hari ini oleh pihak KPM?

Justeru, LAJPEN DMPM menegaskan beberapa cadangan penting atas kesedaran dan semangat  ‘wa tawasau bil haq wa tawasau bis-sobr’ (saling ingat mengingat berdasarkan kebenaran dan kesabaran).

Kami meminta KPM menarik balik penggunaan teks novel ‘Pantai Kasih’ dengan serta merta dan menyemak kembali semua teks sastera yang digunapakai oleh KPM di sekolah-sekolah.

Kami khuatir, ini hanyalah satu contoh yang dapat disedari oleh segelintir masyarakat yang peka sedangkan kemungkinan juga teks sastera yang lain ada sebahagian yang tidak berfungsi membangunkan anak-anak kita kepada cara hidup yang lebih baik.

Kami juga menggesa agar KPM mengambil tindakan yang tegas terhadap kecuaian yang berlaku kepada pihak yang terlibat dalam memilih teks sastera ini.

Proses pemilihan teks sastera sepatutnya bermula daripada penentuan syarat-syarat yang sesuai dengan Falsafah Pendidikan Negara, bukan secara cuai dan tidak bertanggungjawab.

Kami juga mengharapkan kesungguhan semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan agar melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab terhadap ummah ini.

Masyarakat kita sudah hampir larut dengan kerosakan akhlak dan gejala sosial, jenayah dan sebagainya.

Biarlah sektor pendidikan memainkan peranan terbaik untuk mengislah masyarakat kepada kehidupan yang diredhoi Allah.

LAJPEN DMPM juga menyanjung tinggi kepekaan ibu bapa yang dapat melihat kejanggalan dan kelemahan yang berlaku dalam proses pendidikan negara dan membuat teguran terbuka.

Kami percaya kepekaan itu pastinya datang daripada rasa tanggungjawab dan harapan yang menggunung tinggi untuk melihat anak-anak kita dibentuk menjadi anak-anak yang soleh dan berguna untuk agama, bangsa dan negara.

NURUL FAIZA MUSA
Pengerusi Lajnah Pendidikan
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 20/1/2016

Share on Myspace