TPPA: Misteri hantu ekonomi dibiar menjelma lagi

M FAQIH | .

SEORANG penonton memberitahu restorannya tidak laris kerana pelanggan beralih ke restoran sebelah tanpa mengenakan GST.

Apa respons Ketua Pengarah Kastam. Katanya restoran yang laris itu lambat laun bakal dikenakan GST apabila pendapatan mencecah RM500,000 setahun.

Sebaliknya Datuk Seri Khazali Ahmad tidak pula memberitahu restoran yang semakin merosot jualan itu akan dicicir senarai daripada GST.

Ketika menjawab soalan moderator di Diskusi RTM1 malam semalam, katanya peniaga juga tidak perlu risau kerana GST yang terpaksa ditanggung mereka akan dibayar balik Kastam.

Berdasar hujah pegawai kanan terbabit sepanjang diskusi, ia seperti terawang tanpa menjejak di bumi.

Sedangkan ramai peniaga mendakwa mereka terpaksa menanggung kos berganda kerana terpaksa membayar gaji kerani akaun, mengurus resit-resit GST.

Apakah bebanan mengupah kerani akaun boleh dituntut balik di Kastam. Sebab hujah pegawai terbabit kos GST ditanggung peniaga boleh dituntut semula di Kastam.

Belum pun isu GST reda, tiba-tiba rakyat dijelmakan pula deegan akronim TPPA. Apa itu TPPA. Ia merupakan singkatan perkataan The Trans-Pacific Partnership Agreement (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik).

Mungkinkah rakyat di kampung boleh memahami maksud TPPA? Begitu juga bagi kelas menengah atau atas. Siapa yang mampu menghadam 6,000 halaman teks TPPA.

Isu TPPA sebenarnya berlegar sejak enam tahun lepas. Ia diperkatakan pembangkang bermula 2010, namun kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya membisu.

Berbeza dengan perkembangan sehari dua ini. Saban hari tulisan dan penjelasan TPPA dari sudut positif dimuatkan di halaman akhbar.

Paling kerap muncul Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed. Di sana sini beliau muncul menjelaskan isu TPPA.

Isunya sekarang mengapa kerajaan BN hanya nampak agresif kebelakangan ini. Mungkinkah kerana TPPA dijangka ditandatangani Febuari ini selepas persidangan khas parlimen pada 26 dan 27 Januari 2016?

Ramai menjangka kerajaan BN mendapat laluan mudah bagi memuktamadkan perjanjian tersebut. Mereka tidak mungkin memperdulikan amarah rakyat.

Cuba belek sejarah apa yang pernah berlaku terhadap GST sebelum ini. Beberapa kali ditunda sebelum dikuatkuasakan bermula 1 April 2015.

Di mana-mana sahaja sebelum itu kemarahan rakyat membingit. Himpunan demi himpunan diadakan.

Malah bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah juga mahu kerajaan BN menangguh pelaksanaan GST kerana menyusahkan rakyat.

BN hanya kendur seketika selepas amarah rakyat memuncak. Namun ia tidak kekal lama. Dengan mandat diberi rakyat pada pilihan raya umum (PRU) 2013 akhirnya GST muncul juga.

Rakyat dipaksa menerima GST. Pandangan ulama cukai tidak boleh dikenakan terhadap orang miskin tidak dihiraukan kerajaan BN.

Begitu juga dengan gergasi TPPA yang bakal muncul. Majlis penerangan dan dialog yang diadakan di seluruh negara lebih banyak disogok kelebihan TPPA berbanding kesan negatifnya.

TPPA mencorak liberalisasi pasaran antara negara ahli. Setiap negara peserta bebas berniaga di negara ahli secara terbuka selaras konsep globalisasi.

Inilah peluang keemasan yang mahu direbut Malaysia. Menteri dan pelobi TPPA tenggelam dengan angan-angan pasaran produk tempatan mampu menembusi pasaran 12 negara.

Sedangkan di Malaysia TPPA hadir dalam misteri yang berhantu. Dalilnya semua perbincangan dibuat secara rahsia. Teks perbincangan juga rahsia.

Hanya sejak teks penuh TPPA dikeluarkan 5 November lepas kerajaan BN tiba-tiba meratib jawapan enak didengar, penuh ilusi.

Apa yang hampir pasti TPPA sedang menjejaki GST yang kini ditangis rakyat tanpa berlagu. Misteri hantu ekonomi dibiar menjelma lagi. - HARAKAHDAILY 21/1/2016

Share on Myspace