TPPA: Petani bakal hilang pekerjaan

ZAIDY ABDUL TALIB | .

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), sebuah perjanjian perdagangan bebas multilateral yang merentas negara-negara Asia Pasifik sedang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Ada sebahagian yang menyokong manakala sebahagian besar yang lain pula menolaknya.

Perjanjian yang banyak membuat peraturan-peraturan bersifat "one-size-fits-all" ini dikatakan bakal menjadikan Malaysia menjadi sebahagian daripada blok Amerika Syarikat sekaligus menghilangkan sifat negara berkecuali dalam blok-blok dunia.

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia seharusnya mengambil iktibar daripada negara lain yang pernah membuat perjanjian mirip seperti TPPA ini serta melihat kesan yang lebih besar apabila ianya dilaksanakan nanti.

Seperti contoh mengambil iktibar daripada negara Mexico yang dikatakan sepatutnya mencapai status negara maju jika Mexico tidak menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) 20 tahun dahulu. Ini adalah antara iktibar dan pengajaran yang boleh diambil dari Malaysia kesan daripada sesuatu perjanjian seperti NAFTA setelah puluhan tahun dilaksanakan.

NAFTA adalah satu perjanjian perdagangan trilateral yang membabitkan tiga buah negara iaitu Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada yang boleh diukur serta dijadikan pengajaran untuk melihat realiti yang bakal berlaku serta impaknya terhadap rakyat Malaysia apabila TPPA ditandatangani nanti.

Menurut laporan daripada Carnegie Endowment for International Peace, sebuah pertubuhan penyelidikan antarabangsa yang membuat kaji selidik berkenaan perjanjian NAFTA terhadap Mexico bertajuk, NAFTA’s Promise and Reality mendapati bahawa kesan daripada perjanjian tersebut telah mengakibatkan 3/10 juta petani di Mexico terpaksa memberhentikan kegiatan pertanian mereka disebabkan persaingan yang terlalu tinggi berlaku.

Selain itu juga, NAFTA ternyata tidak memberikan kebaikan terhadap pertumbuhan ekonomi Mexico kerana sebelum NAFTA dilaksanakan, kadar pertumbuhan ekonomi Mexico adalah lebih tinggi.

Kesan lain pula diantaranya kadar pengangguran meningkat manakala kadar kemiskinan mencapai sehingga 52.3% pada tahun 2012 iaitu hampir menyamai kadar kemiskinan pada tahun 1994. Jelas menunjukkan bahawa perjanjian NAFTA ini mengakibatkan kesan yang lebih buruk dari sebelumnya.

Tidak dinafikan terdapat kebaikan-kebaikan tertentu dalam TPPA terhadap manfaat ekonomi negara, namun masih banyak perkara yang meragukan dan membimbangkan, seperti yang pernah diutarakan oleh Prof Dr Jomo Kwame Sundaram yang menyebut bahawa konsensus perjanjian TPPA akan melebarkan lagi jurang ketidaksamaan dan meningkatkan jumlah kehilangan pekerjaan sepanjang 10 tahun di kalangan negara anggotanya.

Lihat sahaja selepas NAFTA dipersetujui dan ditandatangani, Amerika Syarikat mendapat manfaat yang paling besar sehinggakan jurang yang tinggi berlaku diantara Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat. Ini jelas bahawa perjanjian TPPA kelak bakal menguntungkan Amerika dan merugikan Negara Malaysia.

Menurut Datuk Mustapa Mohammed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebanyak 26 undang-undang dan akta akan dipinda bagi memenuhi keperluan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum ianya dilaksanakan.

Antara perkara yang dibimbangi adalah status Akta Buruh yang bakal melayakkan buruh asing menjawat jawatan tertinggi dalam kesatuan sekerja.

Lambakan pekerja asing yang bakal berlaku kesan daripada TPPA sudah cukup membimbangkan, apatah lagi akta tersebut membolehkan buruh asing memegang jawatan tertinggi yang bakal menutup peluang rakyat tempatan yang berkelayakan.

Ini belum lagi peningkatan dalam sektor pengeluaran berproduktiviti tinggi yang akan memberi kesan terhadap tenaga buruh kerana digantikan sepenuhnya dengan penggunaan mesin. Semua ini akan mengakibatkan peluang pekerjaan rakyat tempatan terjejas sekaligus menjadikan kadar pengangguran semakin tinggi.

Rakyat yang berpendapatan rendah dan bekerja sendiri antara golongan yang paling menerima kesan sekiranya TPPA ditandatangani. Di antaranya adalah petani, nelayan, dan pekebun kecil.

Apabila melihat kesan NAFTA terhadap para petani di Mexico yang telah mengakibatkan sejumlah 4.9 juta buah keluarga petani kehilangan pekerjaan selepas 16 tahun pelaksanaannya, ternyata ianya adalah kebimbangan besar khususnya terhadap golongan petani di Malaysia.

Umum mengetahui bahawa kebanyakan golongan petani, nelayan, dan pekebun kecil ini mempunyai pendapatan kurang daripada RM 1000 sebulan. Realitinya mereka bakal berhadapan cabaran yang lebih getir daripada hari ini.

Mungkin situasi yang lebih kurang sama seperti Mexico dimana mereka tidak mampu bersaing dan akhirnya mereka terpaksa memberhentikan perusahaan pertanian mereka.

Dengan pendapatan sebegitu rendah, bagaimana mereka ingin meneruskan kehidupan jika perusahaan yang mereka kerjakan selama ini tidak dapat menampung kehidupan seharian sekaligus membantutkan kelangsungan hidup mereka.

Selain itu, Malaysia telah menggunakan sistem tarif dan kuota untuk produk pertanian dan jika TPPA dikuatkuasakan tarif dan kuota ini bakal dikurangkan sekaligus memberi kesan kepada pendapatan para petani.

Begitu juga dengan tarif beras yang bakal dikurangkan selepas daripada TPPA ditandatangani sedangkan pada masa yang sama Amerika Syarikat yang mahukan beras dimasukkan dalam perjanjian ini tidak mahu mengurangkan subsidi yang diberikan kepada petani mereka.

Hal ini akan menyebabkan harga beras menjadi rendah daripada pasaran sekaligus pendapatan para pesawah dalam negara akan terjejas disamping kesukaran menembusi pasaran negara lain. Tindakan ini jelas menguntungkan Amerika serta merugikan para pesawah padi di Malaysia.

Kita harus menyedari bahawa rakyat belum lagi bersedia dengan persaingan terbuka ini walaupun dilihat persaingan yang bakal berlaku adalah persaingan secara sihat.

Namun ianya perlu dilihat secara meluas kerana kesan ketidaksediaan rakyat terhadap persaingan ini bakal mengakibatkan keburukan yang menimpa Negara dan rakyat.

Begitu juga dengan kerajaan yang dilihat masih belum cukup bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya TPPA ditandatangani.

Justeru, adalah amat wajar sekiranya TPPA ini tidak dilaksanakan dan ditolak dalam persidangan Parlimen nanti.

Selaku rakyat yang memahami geopolitik yang memungkinkan Malaysia cenderung mengikut telunjuk Amerika Syarikat selepas perjanjian ini dipersetujui, seharusnya rakyat Malaysia menolak seratus peratus Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ini kerana ianya bakal mengundang keburukan yang lebih besar daripada kebaikan.

Diharapkan para petani, nelayan dan pekebun kecil dapat bersama-sama turun pada 23 januari ini di Dataran Merdeka membantah perjanjian TPPA ini. Jangan sampai tindakan kita hari ini menggadaikan negara kepada anak cucu kita kelak.

Oleh itu, diharapkan pihak kerajaan dapat mendengar keluhan dan rintihan nasib para petani yang bakal terjejas sekiranya TPPA ini ditandatangani. Akhir kata, marilah kita bersama-sama membina Malaysia yang lebih sejahtera dan harmoni. - HARAKAHDAILY 21/1/2016

Penulis ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Bendahari PAS Selangor.

Share on Myspace