Keputusan STAM 2015 antara yang terbaik

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Sejumlah 4,211 atau 67.8 peratus daripada 6,213 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2015 mendapat sekurang-kurangnya sijil pangkat maqbul (lulus), antara keputusan terbaik sejak diperkenalkan pada tahun 2000.
    
Pengarah Lembaga Peperiksaan Datin Nawal Salleh berkata keputusan itu meningkat 4.5 peratus atau 388 calon berbanding 3,823 calon pada 2014.
    
Sejumlah 444 calon memperoleh sijil pangkat mumtaz (cemerlang), meningkat 1.6 peratus atau 113 calon berbanding 331 calon pada tahun sebelumnya, katanya ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan STAM 2015 di sini hari ini.
    
"Secara keseluruhan, pencapaian calon peperiksaan STAM 2015 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.12 mata Gred Purata Nasional, iaitu 3.08 mata pada tahun 2015 berbanding 3.20 mata pada tahun 2014," katanya.
    
Menurutnya calon yang berjaya memperoleh gred mumtaz (cemerlang) bagi semua 10 mata pelajaran yang diduduki meningkat 20 calon (0.31 peratus) iaitu 54 calon berbanding 34 calon pada 2014.
    
Nawal berkata calon yang tidak layak dianugerahkan sijil STAM menurun sebanyak 210 calon atau 4.5 peratus iaitu 2,002 calon (32.2 peratus) pada 2015 berbanding 2.212 calon (36.7 peratus) pada 2014.
    
Selain itu, katanya, calon yang memperoleh sijil pangkat jayyid jiddan (sangat baik) meningkat 265 calon iaitu 1,395 calon (22.5 peratus) berbanding 1,130 calon (18.7 peratus) pada 2014.
    
Katanya calon yang mendapat sijil pangkat jayyid (baik) meningkat 49 calon, namun dari segi peratusan menurun sebanyak 0.2 peratus berbanding 2014.
    
Dari segi pencapaian mata pelajaran, Nawal berkata tiga daripada lima bidang Bahasa Arab mencatatkan peningkatan bilangan dan peratusan calon yang lulus berbanding 2014.
    
"Mata pelajaran tersebut termasuk Nahu dan Sarf, meningkat sebanyak 227 calon (1.8 peratus), Arudh dan Qafiyah meningkat 317 calon (2.3 peratus) serta Insya' dan Mutalaah meningkat 298 calon (2.2 peratus)," katanya.
    
Beliau berkata kedua-dua mata pelajaran bidang Syariah serta tiga mata pelajaran bidang Usuluddin turut menunjukkan peningkatan peratusan calon lulus. - BERNAMA

Share on Myspace