PAS Sarawak gesa negeri tarik balik sokong TPPA

JOFRI JARAIEE | .

BARU-baru ini kerajaan Sarawak menyatakan sokongan terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific (TPPA). TPPA adalah perjanjian perdagangan bebas di antara 12 negara anggota yang lebih menyeluruh berbanding dengan Perjanjian Perdagangan Bebas atau Free Trade Agreement (FTA).

Perjanjian ini bukan sekadar akses pasaran bebas, bahkan ia membuktikan komitmen untuk menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi berhubung dengan undang-undang, peraturan, prosedur dan syarat-syarat atau amalan berkaitan dengan perdagangan.

Persoalannya sekarang masih ramai yang belum faham atau tahu apa sebenarnya TPPA. Adakah dengan penjelasan yang cukup pantas dan ringkas dari pihak Kementerian yang berkaitan TPPA boleh diterima sebulat suara?

Mengapa tiada penjelasan lanjut dari pihak kerajaan kepada rakyat sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat kerana ia akan melibatkan nasib rakyat di negara ini.

Mungkin ada kebaikan dan keburukan dalam TPPA ini tetapi sekiranya banyak keburukan daripada kebaikan maka lebih baik tinggalkan saja perjanjian TPP ini demi masa depan negara dan rakyat.

PAS dengan tegas menolak perjanjian TPP disebabkan ia banyak memberi kesan yang buruk daripada kebaikan kepada rakyat.

Pihak kerajaan perlu memberi penjelasan akan kesan sampingan daripada perjanjian ini nanti kerana rakyat tidak mahu menerima nasib yang lebih malang daripada negara yang pernah mengalami masalah akibat ingkar atau melanggar perjanjian TPP ini nanti.

Pihak pelabur boleh menyaman kerajaan dengan jutaan dolar bahkan boleh sampai billion ringgit. Perjanjian yang berat sebelah ini sepatutnya pihak kerajaan berhati-hati jangan terlalu ghairah untuk menandatangani perjanjian ini tanpa memikir masa depan rakyat.

Perjanjian penuh  rahsia lebih daripada 800 muka surat dirangka oleh syarikat multinasional dari kuasa imperialisme Amerika Syarikat diketahui agak licik dalam hubungan antarabangsa. juga perlu ambil perhatian tribunal TPPA terdiri daripada firma undang-undang yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kerajaan.

Jadi, mereka mampu menekan mana-mana kerajaan sekiranya undang-undang dan hak sesebuah negara dianggap membebankan hasil perniagaan syarikat tersebut. Secara ringkas, negara yang menandatangani perjanjian TPP boleh disaman sekiranya melanggar syarat perjanjian.

Sebagai contoh, jika bauksit di Kuantan itu diusahakan oleh syarikat daripada negara yang menandatangani TPPA, kerajaan tidak akan berani menggantung operasi perlombongan disebabkan pencemaran, jauh sekali nak menggantung lesen, kerana risiko disaman oleh Pelabur - Penyelesaian Pertikaian Negeri, atau ISDS berbillion dollar, seperti yang pernah berlaku kepada negara yang menandatangani TPPA.
 
Kanada
Kerajaan Kanada mengharamkan bahan aditif gasolin MMT kerana boleh menyebabkan pencemaran air dan pemanasan global. Ethyl sebagai pelabur yang mencipta MMT saman kerajaan Kanada, berdasarkan NAFTA, perjanjian yang dianggap lebih kecil impaknya berbanding TPPA. Kerajaan Kanada menarik balik pengharaman tersebut kerana menjangka ia tidak boleh menang atau tidak mampu untuk mempertahankan kes, terpaksa membayar USD13 juta untuk yuran guaman dan ganti rugi kepada Ethyl Corporation dan terpaksa mengeluarkan kenyataan ia tidak beracun.

Kes Saman Syarikat Tembakau Phillip Morris ke atas Uruguay
Pada 19 Februari 2010, syarikat penjual rokok ini menfailkan saman kerugian kerana kerajaan Uruguay mengarahkan syarikatnya meletakkan label amaran kesihatan pada kotak rokok keluarannya.

Phillip Morris adalah syarikat multinasional dan merupakan pengeluar pelbagai jenama terkenal seperti Malboro, L & M, Benson & Hedges dan Peter Stuyvesant.  Bagi membolehkan syarikatnya menfailkan saman kepada Uruguay, peguam Phillip Morris menggunakan perjanjian dagangan antarabangsa antara Uruguay dan Switzerland.

Akhirnya Uruguay disaman ratusan juta dollar oleh syarikat berkenaan. Selain Uruguay, Phillip Morris juga memfailkan saman ke atas Australia dan New Zealand kerana label amaran kesihatan yang diwartakan oleh kerajaan.

Sarawak dikenali dengan autonomi 18 perkara. Apakah jaminan yang boleh diberikan oleh kerajaan BN terhadap hak rakyat Sarawak akan terjamin dengan perjanjian TPP ini? Dua perkara tersebut sebagai contoh.

Perkara 11: Takrif dan Kewangan
Sarawak harus mengawal pentadbiran kewangan, pembangunan dan takrifnya sendiri serta hak dalam menentukan cukai dan pinjaman. Hak ini akan tergugat sekiranya kerajaan bersetuju dengan TPPA.

Perkara 12: Kedudukan Istimewa Penduduk Asli
Pada prinsipnya, penduduk asli Sarawak harus menikmati hak istimewa sejajar dengan hak yang dinikmati oleh orang Melayu di Malaya, tetapi perkara ini sering dilupakan oleh pihak pemerintah.

Dalam keadaan kini pun Sarawak sentiasa dibuli oleh kerajaan BN pusat, tentang perkara yang sewajar menjadi hak Sarawak, bukankah dengan kemasukan TPPA nanti, kesan lebih buruk akan dialami oleh rakyat Sarawak. Sanggupkan kita melihat hak peribumi Sarawak dirampas oleh syarikat multinasional dari negara kuasa besar? Jelaslah TPPA merupakan mimpi buruk untuk rakyat Sarawak.

Adakah perjanjian TPP baik untuk rakyat Sarawak? Di bawah perjanjian TPP, kerajaan yang mewakili rakyat akan kalah dan hilang segala-galanya dari segala sudut sekiranya pihak pelabur menyaman kerajaan.

NGO pro-kemanusian juga akan kalah, aktivis PBB juga akan kalah. Perjanjian ini berkemungkinan mengatasi Perlembagaan sesebuah negara. Melalui perjanjian ini, hanya syarikat multinasional sahaja yang diberi hak keistimewaan untuk menentang kerajaan di mahkamah iaitu syarikat-syarikat tempatan tiada ruang untuk mempertahankan hak mereka.

Syarikat-syarikat gergasi akan menguasai syarikat-syarikat kecil dan kemungkinan besar banyak syarikat-syarikat kecil akan gulung tikar.

PAS mengesa kerajaan Sarawak mengkaji semula kesan serta memikirkan semula sokongan mereka terhadap TPPA. Ayuh pertahankan hak rakyat Sarawak, TIDAK untuk TPPA. Sesal dulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2016

Share on Myspace