Himpunan Bantah TPPA Sabtu ini tetap diteruskan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Himpunan Bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tetap diteruskan pada 23 Januari ini walaupun belum mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis.

Penganjurnya, Bantah TPPA dan Kongres Rakyat menjelaskan himpunan yang diadakan di Dataran Merdeka itu akan dijalankan secara aman adalah untuk menunjukkan tanda bantahan rakyat terhadap kerajaan yang mahu memeterai perjanjian tersebut.

Pengerusi Kongres Rakyat, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, TPPA merupakan perjanjian yang penuh kontroversi dan dilihat tidak membawa banyak kebaikan kepada negara dan rakyat.

"Sehingga kini pihak penganjur masih berhubung dengan pihak berkuasa mengenai permit, notis permohonan untuk perhimpunan telah dihantar kepada pihak polis dan DBKL.

"Dua perjumpaan telah diadakan bersama polis dan DBKL dalam usaha untuk memperolehi permit dan mematuhi prosedur yang diperlukan. Kita masih menunggu kelulusan penggunaan kawasan Dataran Merdeka oleh DBKL," katanya pada sidang media di Rumah MTEM, di sini.

Menurut beliau, himpunan itu akan menghimpunkan lebih 250 badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan kumpulan masyarakat awam.

"Kumpulan ini merangkumi semua peringkat sama ada di bandar mahupun desa tanpa mengira latar belakang serta pekerjaan.

"Semua kelompok ini telah bersatu suara untuk menolak cadangan kerajaan menandatangi TPPA, malah kita turut mendapat dukungan dari Bersih yang menyatakan komitmen mereka untuk bersama-sama dalam bantahan tersebut," katanya lagi.

Menurut beliau, kesepaduan dan penyatuan dalam kalangan pelbagai pihak yang berlainan latar belakang dan ideologi politik, menunjukkan rakyat Malaysia boleh dan bersedia bagi menentang sebarang ancaman luar terhadap negara.

Azmi  berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan DBKL termasuk memanjangkan surat rayuan serta pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Pihak penganjur akan memastikan bahawa perhimpunan ini dijalankan secara aman dan akan sentiasa bekerjasama dengan pihak polis sepenuhnya.

"Bagi kemudahan peserta perhimpunan, empat kawasan perhentian sementara iaitu di Masjid Jamek, Masjid India, Dataran Sogo dan Masjid Negara telah ditetapkan dan ia akan dikawal oleh Jabatan Amal PAS (Unit Amal) dengan kerjasama pihak polis sebelum ke Dataran Merdeka," sambung beliau lagi.

Sementara itu Pengarah Himpunan Bantah TPPA, Kamaruzaman Mohamad berkata proses persiapan perhimpunan telah mencapai 90 peratus.

"Kita mendapat kerjasama penuh dari pihak polis dan DBKL bagi memastikan perjalanan himpunan berjalan lancar.

"Dijangkakan hampir 1,500 petugas Unit Amal yang akan bertugas pada hari perhimpunan itu agar segalanya lebih lancar," katanya.

Dalam pada itu, Naib Prrsiden PAS, Idris Ahmad pula berkata walaupun TPPA tetap diluluskan kerana mengikut majoriti kuasa di Parlimen tetapi dengan bantahan itu sebagai peringatan kita terhadap kesilapan yang dilakukan kerajaan.

"Ini merupakan solidariti rakyat atau parlimen rakyat menyatakan bantahan mereka, rakyat tampil menunjukan bantahan mereka.

"Dalam pada itu kita akan terus menyatakan bantahan kita di parlimen nanti, kita akan terus berhujah agar kerajaan menilai semula apa yang mereka ingin putuskan," jelas beliau.

Turut hadir adalah wakil daripada mahasiswa serta Pengerusi NGO Bantah TPPA, Azlan Awang. - HARAKAHDAILY 21/1/2016

Share on Myspace