600 rumah kekal mangsa banjir siap dibina

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sehingga pertengahan Disember lepas hampir 600 rumah kekal mangsa banjir akhir 2014 siap dibina di Kelantan.

Sebanyak 213 unit daripada jumlah tersebut dibina kerajaan negeri, manakala kerajaan pusat 245 dan NGO (138).

Ketika bah besar melanda Kelantan akhir 2014 hampir 3,000 rumah penduduk musnah sama sekali. Bancian fasa pertama dikenal pasti sebanyak 1,827 rumah, kedua (879) dan ketiga (99).

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negeri berkata bagi pembinaan fasa pertama sebanyak 166 lagi rumah di bawah kerajaan negeri sedang dalam pembinaan.

Manakala 51 lagi mangsa banjir di Kampung Limau Kasturi Gua Musang dalam proses penyediaan penempatan baru.

“Sebanyak 430 rumah kekal baru dirancang dibina di bawah kerajaan negeri bagi fasa pertama,” katanya di sini.

Projek tersebut dibiayai Tabung Bencana Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Kerajaan Selangor.

NGO pula sedang menyiapkan 113 unit lagi di mana keseluruhan yang dibina sebanyak 251. Jumlah tersebut termasuk 60 unit dibina di Kampung Telekong dan 20 lagi Kampung Dusun Nyior.

Sebanyak 603 rumah kekal di bawah kerajaan pusat juga sedang dalam pembinaan. Jumlah keseluruhan rumah kekal di bawah pembiayaan persekutuan sebanyak 976 unit.

Bagaimanapun seramai 128 lagi mangsa banjir masih lagi di peringkat verifikasi dan pengesahan di bawah projek rumah kekal kerajaan pusat.

Di Gua Musang 16 rumah kekal mangsa banjir di Kampung Tanah Putih siap sepenuhnya dan 16 lagi sedang dalam pembinaan.

Penyelia Dun Galas, Ustaz Suhaimi Deris berkata sebanyak 123 unit rumah kekal dirancang dibina di kawasan seluas 53 ekar di kawasan tersebut dengan dibiayai Maik.

Manakala 44 unit di Kampung Pulai yang dibina kerajaan negeri siap sepenuhnya. - HARAKAHDAILY 21/1/2016

Share on Myspace