Sejarah: PAS tubuh CCC, dakwah kepada bukan Islam

HARAKAHDAILY | .

PAS TUBUH CCC SEBAGAI STRATEGI POLITICO-DAKWAH TERHADAP ORANG CINA (22 JANUARI 1986)

PADA hari ini dalam tahun 1986, PAS telah menubuhkan Majlis Perunding Cina (CCC) sebagai satu langkah dakwah melalui politik untuk mendekatkan orang bukan Islam, khususnya Cina kepada Islam.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menyerahkan kepada Lajnah Perhubungan dan Hal Ehwal Luar PAS yang dipimpin oleh Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman untuk melaksanakan penubuhan CCC ini.

Semenjak Muktamar Tahunan PAS Ke-27 pada 17-19 April 1981, PAS telah mengambil ketetapan untuk meluaskan dakwah kepada orang Cina setelah berbangkit isu kerjasama PAS-DAP menjelang Pilihan Raya Umum 1982.

Namun begitu, tiada usaha serius ke arah itu sehinggalah Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 5 Oktober 1985 membincangkan langkah-langkah untuk berdialog dengan orang bukan Islam.

Dalam soal ini, PAS menetapkan empat prinsip dalam rundingan dengan orang bukan Islam, iaitu:
I. Pendekatkan Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah;
II. Perkara-perkara lanjut dan perinci tidak dilibatkan dalam dialog;
III. Isu-isu sensitif yang merugikan perjuangan Islam mesti dielakkan; dan
IV. Hanya pimpinan yang berkeupayaan sahaja boleh mewakili PAS.

Lanjutan daripada ketetapan ini, pada 9 November 1985, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad telah mengemukakan kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS sebuah kertas bertajuk "Laporan Dialog Dengan Orang-orang Cina" yang menggariskan tiga pilihan pendekatan PAS iaitu:
I. PAS memimpin kerjasama dengan parti-parti Cina seperti MCA, Gerakan dan DAP; atau
II. PAS membuka keahlian kepada orang bukan Islam; atau
III. PAS menubuhkan jentera kerja bagi orang Cina untuk membantu PAS dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 1986.

Sebagai langkah untuk melaksanakan dakwah PAS kepada Orang-orang Cina, PAS pada 22 Januari 1986 telah memberi mandat kepada tiga pimpinannya iaitu Ustaz Mohd Nakhaie, Ustaz Hassan Shukri dan Syed Ibrahim untuk mewakili PAS dalam dialog-dialog bersama masyarakat Cina, selain mengambil ketetapan untuk menubuhkan CCC sebagai jentera Kerja PAS bagi orang Cina.

CCC yang ditubuhkan ini dipengerusikan oleh Syed Ibrahim, manakala Penasihat Undang-undang Persatuan Sin Han, Yong Sien menjadi Timbalan Pengerusi CCC. Sedangkan ahli-ahlinya terdiri daripada anggota lajnah tersebut iaitu Ahmad Subky Latif sebagai setiausaha, Ustaz Yahya Othman, Mohd Ridhuan Daniel Oon, Mohd Kamal Koh, Abdul Shukur Harun dan Abdul Razak Ayub sebagai ahli-ahli.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 22/1/2016

Share on Myspace