PJ Pahang jawab dakwaan Adun DAP

BASIRON WAHAB | .

TEMERLOH: Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar mempersoalkan kenyataan Timbalan pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji kononya PAS memungkiri janji untuk bersama dalam pakatan rakyat yang akhinya merugikan PAS.  (rujuk Sinar Harian 21 Januari muka surat 37).
 
Menurut Rosli kenyataan Adun Mentakab itu adalah tidak tepat kerana PAS hanya bertindak balas (memutuskan hubungan dengan DAP) selepas DAP membuat tiga tindakan awal iaitu DAP Sarawak memutus hubungan dengan PAS di Sarawak, pemuda DAP memutuskan hubungan dengan PAS dan akhirnya DAP memutuskan hubungan dengan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Katanya ekoran ketiga-tiga tindakan DAP itulah akhinya PAS mengambil keputusan memutuskan Tahaluf Siyasi dengan parti itu.  
 
Rosli berkata, kenyataan Zulpuri kononnya PAS mungkir janji adalah kenyataan tidak berasas kerana PAS mempunyai perjanjian bertulis dengan DAP iaitu untuk ‘tidak bersetuju dalam perkara yang tidak dipersetujui’.
 
Justeru tidak timbul mungkir janji sebagaimana dakwaan Zulpuri.  
 
Mengenai kenyataan kononnya PAS rugi kerana memutuskan hubungan dengan DAP, Rosli berkata ia tidak berbangkit sama sekali.
 
“PAS tidak rugi apa-apa kerana sikap tegas mempertahankan dasarnya (Islam) dan dasar itulah yang tidak disenangi oleh DAP yang berfahaman  sosialis sekular. Saya fikir, DAP pun tidak akan setuju jika diminta meninggalkan perjuangan sosialisnya itu,” kata  Rosli.  
 
Jelas Rosli, dari sudut politik pula, DAP juga perlu melihat kerugian dipihaknya,  apabila ketegasan  parti itu menghalang dasar Islam hingga menentang PAS untuk  membentangkan pindaan perlembagaan,  pada fasal 355.
 
“Saya percaya Parti itu akan kehilangan sokongan pengundi Islam yang bakal di lihat dalam PRU-14 akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/1/2016

Share on Myspace