Wajibkan konsultansi awam untuk Penang TMP

HUZIR SULAIMAN | .

LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS) memandang berat beberapa projek yang sedang dirancang Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Pelan Induk Integrasi Pengangkutannya (2014-2030) yang dianggarkan nilainya sebanyak RM27 billion, khususnya kesan terhadap Alam Sekitar.

Antara lokasi kebimbangan LATAS Pusat adalah:
1.Fasa 1A yang dilaporkan akan melibatkan pembinaan jalan sejauh 12km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang yang bakal merentasi lokasi pelancongan di Batu Feringgi.
2.Fasa 1B yang dilaporkan akan melibatkan sebahagian pembinaan di kawasan bukit sejauh 5KM di antara Air Hitam dan Gelugor.
3.Fasa 2 yang melibatkan pembinaan jalan sejauh 4-4.2KM yang akan merentasi Sungai Pinang, kawasan penempatan penduduk dan sekolah.
4.Gurney Expressway dan Line 6 yang mungkin akan melibatkan penambakan laut atau pembinaan di atas laut berdekatan pantai di sepanjang Persiaran Gurney termasuk kesan dari pembinaan jalan itu kepada para peniaga makanan dan pasar, pengusaha hotel serta penduduk berdekatan lokasi itu.
5.Terowong Bawah Laut sejauh 6.5-7.2km dari Persiaran Gurney (Pulau) sehingga Bagan Ajam di Seberang Perai yang akan melibatkan pembangunan di laut serta pantai berhampiran termasuk kesannya kepada Nelayan serta kapal dan bot yang menggunakan laluan itu.
6.Cadangan laluan Air Itam ke Tanjung Bungah berhampiran Bukit Bendera, Kuil Kek lok Si serta Tanah Perkuburan Batu Gantung serta beberapa buah Taman Perumahan dan Kampung seperti Kampung lembah Ria, Kampung Melayu, Kampung Melayu Lama, dan Kampung Pisang.
7.Cadangan laluan Air Itam ke Bayan Baru yang berhampiran dengan Tanah Perkuburan United Hokkien, Taman Awam Metropolitan Relau serta Bukit Jambul.
8.Cadangan laluan di bahagian selatan Pulau di sepanjang Gertak Sanggul, Tanjung Asam, Kampung Nelayan, Teluk Kumbar termasuk di Permatang Damar Laut yang mungkin akan melibatkan pembinaan melalui tambakan tanah di kawasan laut serta pantai berhampiran serta kesannya terhadap sumber pendapatan Nelayan.
9.Cadangan aktiviti penebusgunaan tanah atau ‘reclaimation’ di laut yang melibatkan 3 lokasi ‘pulau baru’ di bahagian selatan pulau itu khususnya kesan terhadap ekosistem hidupan laut yang sedia ada.

Oleh sebab cadangan lokasi pembinaan dilihat berhampiran dengan kawasan penempatan penduduk, lokasi perniagaan, perikanan, perkapalan, perkuburan, taman awam, rumah ibadat, bukit-bukau, sungai, pantai serta laut, LATAS PAS Pusat ingin mendesak agensi serta kementerian yang berkaitan agar mewajibkan konsultansi awam yang berasingan mengikut 9 fasa serta cadangan laluan di atas sebelum Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar(JAS) kepada pemaju.

Berdasarkan petikan artikel “Penang undersea tunnel work sees slight delay” oleh The Edge Property bertarikh 11 Januari 2016, LATAS PAS Pusat ingin mendesak satu penjelasan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar(JAS) berkenaan laporan dari The Edge Property bahawa Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG) telah pun diberikan kebenaran oleh JAS untuk melaksanakan PEIA (Preliminary Environmental Impact Assessment) atau Kajian Awal Impak Alam Sekitar terhadap tiga projek lebuh raya yang dipohon mereka. Tiga projek lebuh raya yang dimaksudkan itu adalah dari jalan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, Air Itam ke bypass EU Expressway serta bypass Gurney Drive ke Tun Dr Lim Chong Eu Expressway sejauh 21.2km.

Menjadi satu keraguan dari pihak LATAS PAS Pusat berkenaan laporan The Edge Property itu kerana PEIA seperti yang LATAS PAS Pusat sedia maklum TIDAK AKAN MELIBATKAN KONSULTANSI AWAM malah konsep atau peraturan berasaskan PEIA dan DEIA SUDAH TIDAK LAGI DIGUNAKAN JAS berdasarkan Perintah Kualiti Alam Sekeliling yang sudah digazetkan pada 28 Ogos 2015 tahun yang lalu.

Oleh sebab itu, LATAS PAS Pusat berharap permohonan EIA melalui PEIA terhadap ketiga-tiga projek lebuh raya itu dapat dibekukan serta dinilai semula oleh JAS.

Memandangkan kebimbangan terhadap alam sekitar lebih tinggi untuk projek terowong laut malah diakui pengerusi Konsortium CZBUCG seperti yang dipetik The Edge Property, konsultansi awam sudah semestinya dijadikan satu keperluan WAJIB oleh JAS kepada pemaju.

Walaupun spesifikasi teknikal kesemua projek yang akan dilaksanakan melalui Pelan Induk Integrasi Pengangkutan Pulau Pinang itu, jika ia terletak di bawah syarat-syarat yang telah dicatatkan di dalam Jadual 1 Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 dan bukannya di bawah Jadual 2 untuk TIDAK DIWAJIBKAN KONSULTANSI AWAM, masih terdapat klausa yang membenarkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar untuk menguatkuasakan konsultansi awam seperti yang tercatat dalam perintah 3(2) sebelum permohonan EIA itu diluluskan.

LATAS PAS Pusat juga berharap keluasan penebusgunaan tanah yang terlibat daripada kesemua projek yang terdapat di bawah Pelan Induk Integrasi Pengangkutan Pulau Pinang itu dapat disatukan dan diletakkan di bawah satu EIA sahaja oleh JAS. Malah pembangunan di lereng bukit atau di kawasan bukit juga mesti dielakkan walaupun tahap kecerunan adalah kurang dari 25%.

Begitu juga dengan pembinaan yang melibatkan sungai, pantai dan laut, walaupun tidak diwartakan sebagai taman laut atau rizab laut di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317), kerja-kerja pembinaan dilokasi yang berkenaan mestilah dielakkan.

Kebimbangan serta cadangan ini adalah berdasarkan kemungkinan pencemaran terhadap alam sekitar dari projek-projek yang terdapat di bawah Pelan Induk Integrasi Pengangkutan itu jika langkah-langkah pencegahan awal tidak disediakan dan tidak diseliakan dengan baik oleh pihak pemaju.

Dengan mengambilkira kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan utama negara termasuk faktor kepadatan penduduk yang tinggi khususnya di bahagian pulau itu sebanyak 2031.74 penduduk sekilometer persegi, keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mewajibkan konsultansi awam terhadap kesemua projek yang terlibat di bawah Pelan Induk Integrasi Pengangkutan itu amatlah diharapkan.

Penglibatan pihak ketiga khususnya dari penduduk yang terlibat, NGO, ahli akademik serta pakar bebas melalui konsultansi awam itu akan memastikan aspek keselamatan, kesihatan Rakyat serta alam sekitar dapat dipelihara dengan baik di pulau itu. – HARAKAHDAILY 22/1/2016

(Penulis adalah Setiausaha Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar PAS Pusat dan juga bekas pelajar Penang Free School)

Share on Myspace