Bauksit: Kerajaan negeri digesa baiki jalan, paip rosak

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang digesa membaik pulih kesan kerosakan kemudahan asas penduduk kampung-kampung yang terlibat dengan operasi pelombongan bauksit.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu berkata, desakan tersebut disuarakan oleh penduduk dalam pertemuan dengan mereka di Kampung Kubang Badak, Beserah di sini.
 
“Perjumpaan dengan penduduk-penduduk sekitar Beserah yang berhampiran dengan lombong bauksit semalam merumuskan mereka mendesak pihak kerajaan membaiki jalan kampung yang rosak teruk dengan segera.
                             
“Selain itu mereka juga minta saluran paip air ke rumah-rumah yang kebanyakannya telah pecah dan bocor akibat dilanggar lori-lori pengangkut bauksit dibaiki segera.

“Mereka juga menuntut supaya anak sungai yang telah tertimbus dibersih dan dikorek semula kerana ia merupakan sumber air,” katanya.
 
Andansura yang juga Adun Beserah berkata, semua kerja-kerja pemulihan perlu dilakukan sebelum sebarang aktiviti perlombongan diteruskan semula.
 
Kerajaan negeri pada ketika ini mengarahkan semua kerja-kerja pelombongan bauksit dihentikan selama tiga bulan.
 
Beberapa agensi awam seperti pasukan bomba dan penyelamat pada masa ini dikerahkan mencuci kesan-kesan habuk bauksit di longkang dan jalan raya yang kritik ramai kerana mencemarkan alam sekitar. – HARAKAHDAILY 22/1/2016

Share on Myspace