PAS seru ahli turun himpun Bantah TPPA

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyeru ahli PAS turut sama dalam himpunan aman Bantah perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan diadakan esok, 23 Januari.

Beliau ketika ditemui berkata, penyertaan ahli-ahli PAS ini menunjukkan tanda sokongan bantahan parti itu terhadap penjajahan baru melalui ekonomi.

"Saya menyeru seluruh ahli PAS diperingkat kawasan dan negeri untuk turut sama dalam himpunan yang akan diadakan esok.

"Kita mahu ahli-ahli PAS bersama menyatakan sokongan bantahan kita terhadap pelaksanaan TPPA yang bakal ditandatangani oleh kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya mengenai jumlah penyertaan ahli-ahli PAS pada perhimpuan ini, beliau tidak mahu memberi jumlah angka, namun beliau yakin ahli-ahli PAS akan turut serta dalam himpunan tersebut.

Himpunan aman Bantah TPPA itu akan diadakan di Dataran Merdeka mulai jam 2 patang, beberapa lokasi telah ditetapkan bagi memudahkan pergerakan peserta himpunan antaranya Dataran Sogo, Masjid Jamek, Masjid India dan Masjid Negara.

Dianggarkan sebanyak 250 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang akan turut serta pada perhimpunan tersebut. – HARAKAHDAILY 22/1/2016

Share on Myspace