Tunggu 27 tahun, peneroka Sungai Tengi dapat hak milik

HARAKAHDAILY | .

Razman (tengah) bersama beberapa peneroka yang menerima hak milik.

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan tahniah kepada peneroka Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor kerana menerima hak milik tanah yang ditunggu selama 27 tahun.

"Lajnah Tanah PAS Pusat mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor," ujar Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Razman Zakaria kepada Harakahdaily.

Oleh kerana urusan tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, beliau berharap supaya negeri-negeri lain juga boleh mengambil tindakan yang sama.

Pada hari ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menyampaikan hak milik kepada 139 orang peneroka Felda Sungai Tengi dalam satu majlis khas yang diadakan pagi tadi.

Azmin juga mengumumkan pembinaan 116 unit rumah berkembar untuk memenuhi permintaan generasi kedua Felda.

Perumahan tersebut akan dibina oleh pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di atas tanah seluas 17 ekar dengan kos infrastruktur ditanggung oleh kerajaan negeri.

Keluasan rumah 850 kaki persegi itu pada asalnya berharga RM160,000 dapat dikurangkan kepada RM97,000.

Pembinaan rumah berkenaan dijangka bermula pada tahun ini. - HARAKAHDAILY 22/1/2016

Share on Myspace