Anda sayangkan negara, ayuh bantah TPPA

HARAKAHDAILY | .

Antara peserta ARC yang telah tiba di sekitar Masjid Negara.

Lori "Istiqamah" tiba dari Permatang Pauh sebelum subuh tadi.

KUALA LUMPUR: "Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) satu pencabulan terhadap negara kita yang berdaulat. Sia-sia setelah 58 tahun negara merdeka," kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Menurutnya, sebelum merdeka, khazanah dan hasil alam dipunggah ke negara mereka dengan cara paksa sebagai kuasa penjajah.

Tambah beliau, TPPA berselindung di sebalik undang-undang dan pasaran bebas tetapi mempunyai agenda jahat yang tidak pernah padam.

"Anda sayangkan negara, ayuh kita bantah TPPA. Biar sejarah terpahat bahawa kita adalah penentangnya," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menerusi laman facebook.

Sementara itu, tinjauan Harakahdaily pagi ini mendapati orang ramai mula berada di beberapa lokasi untuk menyertai himpunan aman Bantah TPPA di Dataran Merdeka jam 2 petang nanti.

Suasana di pekarangan Masjid Negara agak meriah dengan kehadiran para peserta himpunan yang memakai baju Fastaqim di samping gerai jualan.

Sekitar jam 11.00 pagi, lalu lintas masih bergerak lancar di beberapa laluan menghala ke Dataran Merdeka.

Kelihatan anggota polis trafik ditempatkan di beberapa persimpangan menuju kawasan himpunan. - HARAKAHDAILY 23/1/2016

Share on Myspace