Sungai dan laut merah di Kuantan kali ke-3

BASIRON WAHAB | .

KUANTAN: Fenomena air sungai dan laut merah berulang buat kali ketiga di Kuantan pada 21 Januari 2016, dipercayai berpunca daripada kesan perlombongan bauksit.
 
Pengerusi Gerakan Anti-Bauksit, Ali Akhbar Othman berkata, kejadian laut merah kali pertama berlaku sekitar Julai 2015, kejadian kedua pada penghujung Disember 2015 lalu dan ketiga pada 21 Januari 2016.
 
Beliau percaya kejadian laut merah berlaku akibat kesan perlombongan bauksit yang melampau dan kegagalan kerajaan menguatkuasakan EIA.
 
“Kejadian laut merah berlaku akibat aktiviti bauksit yang melampau. Dan kegagalan kerajaan menguatkuasakan EIA,” katanya, ketika di minta mengulas keadaaan laut merah kelmarin.
 
Menurutnya, tanpa penguatkuasaan EIA, pengusaha mengorek dan mengambil bauksit tanpa mengambil kira kesan kepada alam sekitar.
 
“Kali ini ia berlaku ketika tempoh moratarium, meskipun tiada aktiviti melombong pada masa ini. Namun, kawasan perlombongan yang ditinggal dalam keadaan gondol mengalirkan lumpur berwarna merah ke sungai dan laut apabila hujan melanda Kuantan kelmarin,” katanya.
 
Menurut Ali, pihak berkuasa perlu mencari jalan penyelesaian yang berkesan untuk merawat air lumpur sebelum dilepaskan ke sungai dan laut.
 
“Kita percaya apabila perlombongan bauksit ini dibuka semula nanti, kejadian sama akan berulang malah mungkin lebih buruk lagi jika tiada usaha untuk merawat air sebelum dilepaskan ke sungai dan laut,” ujarnya.
 
Antara lokasi terlibat ialah Sungai Pengorak, Sungai Balok dan jeti nelayan Balok. - HARAKAHDAILY 23/1/2016

Share on Myspace