TPPA: Jangan tinggal kepada kami negara digadai

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Afiq Awang menolak anggapan bahawa mahasiswa hari ini adalah 'manja'.

"Kalau manja kami tak ada dalam padang ini bantah TPPA," tegasnya ketika berucap pada himpunan aman Bantah TPPA di Padang Merbok, di sini petang ini

Katanya, dalam suasana ekonomi gawat hari ini, para mahasiswa dijerut sekeliling pinggang dengan kos hidup yang tinggi di samping pelbagai ancaman.

Tambahnya, dalam keadaan yang menekan ini, akhirnya rahsia terbuku dalam hati mahasiswa terdedah, antaranya ada dalam kalangan mereka yang tidak makan.

Beliau menyifatkan pemimpin kerajaan hari ini seperti tidak mampu mengurus ekonomi negara apabila mahu menandatangani TPPA.

Menurutnya, jika kerajaan tidak menandatangani TPPA, negara masih mampu mengadakan hubungan dagang dengan negara luar.

"TPPA tak perlu untuk uruskan ekonomi negara," tegasnya.

Justeru, beliau mengajak para hadirin supaya mengenang kembali perjuangan pemimpin terdahulu yang tidak mahu negara ini dijajah.

"Pejuang, pemimpin dahulu berjuang untuk pastikan negara tidak dijajah, kita lihat isu ini dengan baik, bantah penjajahan dalam sebarang bentuk," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya membantah keras TPPA yang tiada banyak manfaat kepada kerajajan.

Beliau mempersoalkan kenapa kerajaan tidak membentangkan secara telus kandungan TPPA, bukan kebaikan sahaja tetapi keburukannya kepada negara di sebalik perjanjian itu.

"Nyatakan dengan telus apa yang berlaku jika TPPA ditandangani. Kerana kami yang akan memimpin negara nanti, jangan tinggalkan kepada kami negara yang digadai dan dihancurkan oleh tangan-tangan yang jahat," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 23/1/2016

Share on Myspace