MP Umno diseru berani lawan arus

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: CEO Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd Nizam Mahshar menyeru supaya ahli Parlimen Umno BN supaya berani melawan arus agar turut menolak TPPA.

Demikian tegas beliau ketika menyampaikan ucapan di hadapan ribuan hadirin bantah TPPA di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

“Kami membuat kajian sejak 2013 lagi. Kami juga meneliti semua perjanjian dengan Amerika Syarikat dan turut melihatnya daripada sudut perundangan, akhirnya mendapati TPPA tidak memberi apa-apa keuntungan kepada rakyat,” ujar beliau.

Dalam tempoh yang sama, pihak MTEM telah mengadakan perjumpaan dan dialog dengan pihak kerajaan supaya mendedahkan kandungan TPPA, namun kerajaan tidak mahu berbuat demikian.

“Akhirnya selepas lima tahun, barulah kandungan itu didedahkan dan mengesahkan tentang kebimbangan kami.

MITI kini sedang berjerayawara ke seluruh negara mencanangkan kebaikan TPPA. Namun, saya percaya, ramai yang tidak faham tentang TPPA kerana bukan mudah meneliti dokumen setebal 6,000 muka surat itu,” tegas beliau.

Beliau turut menyeru supaya semua yang hadir agar memulakan gerakan dan menyebarkan kepada seramai mungkin rakyat dan dalam pelbagai media untuk membantah TPPA. – HARAKAHDAILY 23/1/2016

Share on Myspace