TPPA: Ingat sejarah Amerika hancurkan dunia Arab

SALMIYAH HARUN | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, rakyat tidak mahu negara ini menjadi sebuah negara yang tidak bertanggungjawab kepada mereka dengan menandatangani TPPA.

Ini kerana, jelasnya sejarah Amerika menghancurkan dunia Arab dengan menjajah di atas nama perpaduan dan pendamaian.

"Kononnya hendak bebaskan negara tetapi kuasai dan rampas segala kekayaan di negara Arab. Amerika jadikan Malaysia dan negara-negara lain untuk jadikan alat bagi selamatkan enonominya," ujarnya ketika berucap pada himpunan aman Bantah TPPA di Padang Merbok, di sini petang ini.

Beliau mengingatkan pemimpin kerajaan bahawa Malaysia adalah bumi bebas dan merdeka dan jangan sekali-kali menjadikan negara ini dijajah dengan sistem penjajahan baru iaitu bermula dengan ekonomi.

"Adakah kita nak serahkan negara kita ke Amerika? Jika kita serah kita akan tahu nasib kita, sukar untuk bangkit ekonomi kita.

"Kita akan jadi negara ketiga sampai bila-bila. Kita mesti bebaskan ekonomi kita daripada cengkaman musuh-musuh ekonomi dunia," kata beliau di hadapan hampir 30,000 peserta. - HARAKAHDAILY 23/1/2016

Share on Myspace