Himpunan Bantah TPPA: PAS ucap terima kasih

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan himpunan aman Bantah TPPA di Padang Merbok, di sini petang semalam.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada penganjur program bantah TPPA, Jabatan Amal dan semua peserta yang menjayakan himpunan tersebut.

"Sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk menentang perjanjian yang akan mencabul kedaulatan negara," ujarnya menerusi laman facebook.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menambah, Allah tidak tanya kamu berjaya atau tidak, tetapi akan ditanya kamu berusaha atau tidak.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula berharap semoga ‪#‎BantahTPPA‬ menjadi saksi di atas usaha dan amal kebaikan rakyat Malaysia bagi menentang 'perjanjian Amerikanisasi' yang membawa negara ke ambang kegagalan.

Menerusi tulisan di laman facebook, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, amal buruk dibalas buruk manakala amal baik dibalas baik.

"Walaupun kerosakan TPPA akan ditanggung buruknya nanti oleh rakyat, pasti suatu hari nanti, insya Allah, amal baik rakyat Malaysia menyokong #BantahTPPA ini akan menjadi sinar harapan buat negara tercinta keluar dari kegagalan ini akibat lemahnya kepimpinan negara," ujarnya. - HARAKAHDAILY 26/1/2016

Share on Myspace