Takziah buat keluarga pelajar Malaysia terkorban di Jordan

HARAKAHDAILY | .

 (Foto daripada portal Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan)

KUALA LUMPUR: "Sesungguhnya kita milik Allah dan kita semua akan kembali kepada-Nya.

"Saya menzahirkan ucapan takziah kepada semua waris pelajar yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jordan, awal pagi semalam," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan kepada Harakahdaily.

Katanya, insiden tersebut sangat menyayat hati dan menghibakan kita semua.

"Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh semua yang terkorban dirahmati dan ditempatkan bersama-sama mereka yang soleh di sisi Allah," ujarnya lagi.

Beliau turut mengharapkan agar para waris dapat bersabar atas ujian itu dan redha dengan pemergian insan yang tersayang.

"Kita juga berdoa agar dua rakan pelajar yang sedang dirawat di hospital dipulihkan oleh Allah.

"Marilah kita terus memberikan sokongan kepada mereka semua," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Tiga pelajar Malaysia yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Ashrafiyeh, Wilayah Mafraq, Jordan pagi semalam ialah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, Hana' Azhar dan Al Najiatun Nailah Mohd Safie.

Fatin Iqmal Idziyani berasal dari Kuala Lumpur manakala Hana' dan Al Najiatun Nailah dari Kelantan.
 
Dua pelajar Malaysia yang terselamat ialah Izzam Hasif yang cedera di kaki dan patah tangan serta Fatin Noor Syahirah yang cedera di muka dan rahang. - HARAKAHDAILY 24/1/2016

Share on Myspace