Pemuda PAS ucap takziah, pelajar terkorban di Jordan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan takziah kepada keluarga para pelajar Malaysia yang meninggal dunia selepas mengalami kemalangan jalan raya di Ashrafiyeh, wilayah Mafraq, Jordan pada pagi semalam (waktu Jordan).

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Pemuda PAS berdoa semoga kesemua ahli keluarga mangsa tabah menghadapi saat getir dan menerima ketentuan Ilahi ini dengan redha dan penuh sabar.

"Semoga Allah SWT memberkati kehidupan mereka dan meletakkan mereka dalam kalangan hamba-Nya yang bertaqwa insya Allah," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu kenyataan.

Menurut laporan rasmi daripada Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan (KMKJ), tiga identiti pelajar berkenaan adalah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, Hana' Azhar dan Al-Najiatun Nailah Mohd Safie.

Manakala, dua lagi pelajar yang terselamat adalah Izzam Hasif dan Fatin Noor Syahirah, masing-masing cedera di kaki, tangan dan muka. - HARAKAHDAILY 24/1/2016

Share on Myspace