Mana tahu lepas ini saya tak dapat rasa masakan ibu lagi

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: "Ibu, masaklah makanan kegemaran saya...Mana tahu lepas ini saya tak dapat rasa masakan ibu dan tak pulang lagi."

Itu luahan kata-kata pelajar Fatin Iqmal Idziyani ketika pulang bercuti Ogos tahun lepas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Fatin yang menuntut di Jordan maut bersama dua rakannya dalam kemalangan jalan raya di Safawi tidak jauh dari bandar Mafraq semalam.

Rapidah Mat Rani, 47, berkata anaknya itu, yang bongsu dengan suami pertamanya Che Aziz Che Mahmood, 50, turut berkelakuan aneh.

"Fatin bermanja berlebihan dan sering tidur di riba saya serta memeluk saya dengan erat semasa pulang bercuti," kata Rapidah yang merupakan peniaga makanan di Pudu Plaza kepada Bernama di sini hari Ahad.

Beliau berkata anaknya itu tidak pernah bermanja begitu sebelum ini, dan kepergiannya semalam menyedarkannya bahawa itu petanda detik-detik terakhir bersama anaknya.

Dua lagi yang maut dalam kemalangan itu ialah Hana' Azhar dan Al Najiatun Nailah Mohd Safie.

Dua pelajar yang cedera dalam kemalanan itu, Fatin Nor Syahirah Ramli dan Izam Hasif kini menerima rawatan di Hospital Kerajaan Mafraq.

Rapidah berkata beliau dan suaminya sekarang Ahmad Sabri Mat Bahrin, 48, bapa tiri kepada Fatin, yang bekerja sebagai pemandu dengan Bank RHB telah menanggung pembelajaran anaknya untuk mengambil ijazah sarjana muda dalam bidang syariah, fikh dan usuluddin di Universiti Mu'tah Jordan.

Katanya, Fatin, pelajar tahun tiga yang dijangka menamatkan pengajian tahun depan, rajin membaca al-Quran dan beliau akan merindui untuk mendengar bacaannya.

Rapidah, yang turut mempunyai tiga lagi anak dengan Ahmad Sabri berkata, Fatin bagaikan anak sulung dalam keluarga, memandangkan anak pertamanya, bayi lelaki meninggal dunia sejak kecil.

"Fatin adalah seorang yang ceria dan bercita-cita untuk menjadi peguam syariah," katanya sambil menitiskan air mata.

Beliau berkata mereka selalu berhubung melalui Whatsapp, namun sejak Jumaat lepas Fatin tidak menghubunginya sehingga mereka sekeluarga menerima berita kematiannya semalam.

Rapidah yang tinggal di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng di sini berkata, mereka sedang berurusan dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Mu'tah untuk membawa pulang jenazah Fatin dan mengebumikannya di kampung halamannya di Kampung Lenggong, Perak.

Beliau berdoa agar jenazah anaknya tidak dibedah siasat, dan terus dibawa pulang ke Malaysia.

Rapidah juga berharap bekas suaminya Che Aziz dapat dimaklumkan mengenai kematian anaknya itu yang ditinggalkannya sejak Fatin berusia 3 tahun.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Bahagian Baitulmal Ahmad Talmizi Yahaya yang ditemui di rumah Rapidah berkata pihaknya akan menyumbang RM3,000 bagi membantu urusan pengebumian Fatin.

Mangsa merupakan penerima bantuan am Baitulmal sejak tahun pertama pengajiannya.

Di KOTA BAHARU, bapa kepada Al Najiatun Nailah, Mohd Shafie Ismail, 55, berkata kali terakhir beliau menerima panggilan telefon dari anaknya adalah pada Khamis lepas.

Dia meminta izin untuk menyertai rombongan perwakilan pelajar.

Pengetua Sekolah Maahad Tahfiz Sains Berangan, Tumpat itu berkata beliau tidak mengesan sesuatu yang pelik dalam perbualan telefonnya dengan anak ketiga daripada enam beradik itu.

"Saya cuma terkejut apabila mendapat panggilan daripada Kedutaan Malaysia di Jordan pada Maghrib semalam menyatakan anak saya maut dalam kemalangan di sana," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini.

Beliau dijadual berlepas ke Kuala Lumpur untuk ke Jordan bersama isterinya Rohaizun Omar, 55, bagi menuntut jenazah anak mereka.

Sementara itu, Rohaizun berkata anaknya seorang yang pendiam dan sangat rapat dengan semua anggota keluarganya, dan sering menghubungi mereka untuk bertanya khabar.

Katanya, Al Najiatun hanya tinggal setahun lagi untuk menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang syariah.

Beliau berkata kali terakhir anaknya pulang ke Malaysia ialah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas. - Bernama

Share on Myspace