Kelantan sedia biayai bawa pulang jenazah dari Jordan

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia menanggung kos membawa pulang dua jenazah dan seorang pelajar Kelantan yang cedera dalam kemalangan jalan raya di Wilayah Mafraq, Amman, Jordan semalam.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata bantuan itu dibuat melalui Tabung Khairat Kematian di bawah Yayasan Kelantan Darul Naim (Yakin).

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menyampaikan amanat sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Ahmad berkata, pihaknya juga akan menghantar seorang wakil daripada Yayasan Islam Kelantan (YIK) ke Jordan hari ini bagi mengikuti perkembangan terkini dan membantu keluarga pelajar berkenaan.

“Memang kita telah ada pegawai pelajar yang menguruskannya khususnya di Mesir, tetapi memandangkan anaknya juga salah seorang dari mangsa ada baiknya kita menghantar seorang lagi wakil.

“Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar yang terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.

Dalam kemalangan di wilayah Mafraq, tiga pelajar wanita maut, manakala dua lagi cedera.

Dua daripada tiga pelajar yang maut dan seorang yang cedera adalah dari Kelantan.

Sementara itu, ibu bapa pelajar Al Najiatun Nailah, 20,  Mohd Shafie Ismail, 55 dan Rohaizon Omar, 54, akan berlepas ke Jordan malam ini.

Mohd Shafie yang juga pengetua Maahad Tahfiz Kampung Berangan, Tumpat dan isterinya berangkat ke Kuala Lumpur pagi tadi dengan penerbangan dari LTSIP sebelum berlepas ke‎ Jordan malam ini dengan pesawat pada jam 7.50 malam.

Turut hadir di lapangan terbang, Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Tengku Abdul Rahman Tuan Yunus dan timbalannya, Ustaz Che Kamaruddin Kamil Mohamed dan lain-lain kakitangan Yik. - HARAKAHDAILY 24/1/2016

Share on Myspace