Siapa sebenarnya literalis?

HARAKAHDAILY | .

Masyarakat umat Islam sangat keliru dengan kenyataan Mustafa Akyol yang telah disiarkan dalam sebuah portal semalam berhubung negara Islam, polis Islam dan hukuman bagi orang murtad.

Dia menggambarkan masalah yang sedang dihadapi dalam kalangan umat Islam pada hari ini adalah berfahaman literalis terhadap undang-undang Syari’ah. Hal ini perlu diteliti secara mendalam bagi mengelakkan salah faham terhadap kesyumulan serta kesucian Islam.

Mustafa Akyol hanya membaca zahir nas (literalis) Al-Qur’an yang tidak menyebut secara eksplisit mengenai perkataan negara Islam, walhal jika ditekuni, banyak substantif ayat yang merujuk kepada hal ehwal kenegaraan dalam Al-Qur’an.

Dia mengaku menjumpai kalimah khalifah, tetapi kenapa tidak memahami konsep khilafah dan istikhlaf yang juga terdapat dalam Al-Qur’an? Siapakah sebenarnya literalis?

Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nur, ayat ke-55 (maksudnya), “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dalam kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah memberikan kuasa kepada orang-orang yang sebelum mereka...”. Khalifah tidak terhad kepada maksud wakil yang membawa suruhan Allah, tetapi ia juga adalah simbolik kepada institusi politik Islam.

Sejak era kerasulan Nabi Muhammad SAW hingga Khilafah Islam ‘Uthmaniyyah (1923), kekuasaan Islam telah menjangkau dari Morocco hingga ke China. Namun, perjanjian demi perjanjian yang diratifikasi seperti Perjanjian Sykes-Picot (1916), Deklarasi Balfour (1917) dan Perjanjian Sevres (1920) telah merungkai autonomi kekuasaan Islam sehingga membawa kepada agenda imperialisma kuasa Barat seperti British, Perancis, Itali dan Greek.

Adakah kita bimbang untuk menyatakan dengan tegas mengenai kewujudan negara Islam, khilafah Islam dan pemerintahan Islam?

Adakah kita hanya mahu menampilkan nilai-nilai universal tanpa mahu disinonimkan dengan Islam semata-mata untuk meraih mandat rakyat?

Ini adalah sebahagian daripada agenda pasca Islamisme yang dipopularkan oleh Asef Bayat, Mustafa Akyol dan lain-lain sejak akhir kurun ke-20 (1900-an) setelah ramai saintis politik mendakwa politik Islam telah menemui kegagalan.

Melihat cabaran politik hari ini, saya boleh bersetuju bahawa agenda ‘Islamic State’ yang disinonimkan dengan kumpulan pengganas adalah satu propaganda provokatif untuk mencemarkan Islam.

Perkara ini sebenarnya yang perlu diperjelaskan untuk mewajahkan ajaran Islam yang sebenar kepada masyarakat dunia.

Saya bimbang penafian kewujudan institusi politik Islam sepertimana yang didakwa akan mempotretkan Islam hanya dalam ruang lingkup peribadi dan tidak dalam amalan umum masyarakat dan negara.

Perkara yang sama juga mesti diamati dengan lebih mendalam mengenai dakwaan ‘polis Islam’, konsep hisbah, At-Tamkin, Al-Amru bil Ma’ruf wa An-Nahyu ‘anil Munkar serta hukum-hakam Islam yang lain.

Saya menyeru semua pihak untuk memahami Islam berdasarkan epistemologi ilmu dan tasawwur Islam yang benar. Rujuklah kepada ahli agama yang berwibawa supaya Islam yang diredhai Allah ini menjadi satu rahmat dan keadilan kepada seluruh alam.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
15 Rabiul Akhir 1437 / 25 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 25/1/2016

Share on Myspace