Sejarah: PAS tegaskan hanya Islam asas kerjasama politik

HARAKAHDAILY | .

PAS TEGASKAN HANYA ISLAM BOLEH MENJADI ASAS DALAM SEMUA KERJASAMA POLITIK (25 JANUARI 1989)

PADA hari ini dalam tahun 1989, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk serpihan Umno, dengan syarat pihak tersebut menerima Islam sebagai asas kerjasama.

Ustaz Fadzil berkata demikian sebagai respons terhadap jemputan terbuka pemimpin serpihan Umno, Tengku Razaliegh Hamzah yang telah menubuhkan parti Semangat 46, untuk PAS bekerjasama dengan parti itu.

Isu kerjasama dengan serpihan Umno ini berbangkit setelah Mahkamah Agung pada 8 Ogos 1988 menolak rayuan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengharamkan Umno pada 24 April 1987, dan kegagalan Tengku Razaliegh mendapatkan sokongan Dewan Rakyat untuk meminda Akta Pertubuhan pada 5 Disember 1988.

Setelah itu, pimpinan Team B Umno ini mula menghadiri program anjuran PAS termasuk majlis Makan Malam Pemikiran Ummah pada 23 Disember 1988.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 20 Disember 1988 telah menggariskan asas utama kerjasama antara PAS dengan S46 dan Berjasa di mana PAS akan bertanding tidak kurang 38 kerusi Parlimen dan akan memimpin Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah jika menang pilihan raya.

Asas kerjasama ini bertolak dari kertas Tahaluf Siasi yang disediakan oleh Ustaz Nakhaie Ahmad pada 13 Julai 1986 dan juga kertas Tahaluf oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang diterima pada 9 Oktober 1988.

Pada 22 Januari 1988, Tengku Razaliegh telah menawarkan kerjasama politik kepada PAS secara terbuka setelah melalui rundingan awal sebanyak 18 kali. PAS menyambut positif tawaran ini, tetapi meletakkan Islam sebagai asas utama kerjasama ini.

Menurut Ustaz Fadzil, kerjasama politik ini mestilah dibuat atas dasar syariat melalui konsep tahaluf siasi.

Pada 4 November 1989, Majlis Syura Ulamak PAS telah memaklumkan kepada semua peringkat PAS bahawa perkara tahaluf ini telah dibincangkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS sejak kertas Tahaluf dikemukakan pada 9 Oktober 1988 dengan kajian yang teliti terhadap soal waqi' (realiti) dan memandang jauh al-masalih al-mursalah untuk menegakkan maqasid syariah.

Lanjutan daripada penegasan Ustaz Fadzil pada 25 Januari 1989 ini juga, pada 19-20 Mac 1990,  Majlis Syura Ulamak PAS, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat bermuzakarah berkait isu tahaluf ini supaya perlaksanaannya sentiasa menepati syarak.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
25 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 25/1/2016

Share on Myspace