Fomca jangka lebih banyak subsidi dikurangkan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menjangkakan lebih banyak subsidi bakal dikurangkan dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 yang dibentangkan pada 28 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jangkaan itu berdasarkan situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“Belanjawan tahun lepas banyak dikurangkan subsidi jadi semakan belanjawan negara hujung bulan ini sudah tentu lebih banyak akan dikurangkan," katanya dipetik Selangor Kini.

Menurutnya, dengan kejatuhan mata wang, harga minyak dan penarikan biasiswa JPA sudah tentu membimbangkan rakyat dalam menghadapi 2016.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan seharusnya mengurangkan perbelanjaan pengurusan berbanding pengurangan subsidi.

Katanya, banyak ketirisan berlaku menyebabkan pembaziran melampau.

“Ketirisan berlaku dari pelbagai aspek. Jika Kerajaan Persekutuan dapat tangani sudah tentu penjimatan wang.

“Begitu juga dengan pengurusan, kerajaan patut mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu contohnya logistik, mesyuarat di tempat-tempat mewah, penukaran kereta dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya pengguna mengambil langkah berjimat cermat dalam berbelanja.

Tahun ini, ujar beliau ekonomi agak getir jadi pengguna perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

"Berbelanja secara berhemah dan perlu mempunyai simpanan jika kegawatan ekonomi berlaku. Ia sekurang-kurangnya pengguna bersedia dengan segala kemungkinan.

“Kuasa pengguna terletak pada pembeli. Jika pembeli mengurangkan perbelanjaan sudah tentu ekonomi makin jejas, namun langkah berjimat cermat perlu diambil,” katanya lagi.

Share on Myspace