Jenazah pelajar dijangka dibawa pulang 27 Jan

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Ustaz Azhar Salleh merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana menanggung kos membawa pulang jenazah anaknya yang meninggal akibat kemalangan jalan raya di Jordan.

Beliau yang juga Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan di Mesir turut merakam penghargaan kepada Kedutaan Malaysia dan universiti di Jordan mengurus jenazah anaknya.

“Jenazah anak saya dijangka dibawa balik dari Jordan ke Kelantan pada 27 Januari ini,” katanya ketika dihubungi di Jordan.

Sabtu lalu tiga pelajar Malaysia di Universiti Mu’tah Jordan maut akibat kemalangan jalan raya di Safawi, manakala dua lagi cedera.

Pelajar yang meninggal dunia Fatin Ikmal Idziyani Che Aziz, Hana’ Azhar dan Al Najiatun Nailah Mohd Shafie. Fatin Nor Syahirah Ramli dan Muhammad Izzam Hasif Anuwar pula cedera.

Muhammad Izzam, 20, cedera di kaki dan patah tangan manakala Fatin Nor cedera di muka dan rahang.

Menurut laporan ketika kejadian kenderaan dinaiki pelajar terbabit dilanggar dari arah bertentangan.

Semalam Menteri Besar, Ustaz Ahmad Yakob mengunjungi keluarga Azhar di Kampong Tok Bok, Machang.

Sekarang Azhar serta bapa kepada Al Najiatun, Ustaz Mohd Shafie Ismail, 55, dan isteri Rohaizon Omar, 54 berada di Hospital Basyeer Amman.

Mohd Shafie merupakan Mudir Maahad Tahfiz Sains Berangan Tumpat. - HARAKAHDAILY 25/1/2016

Share on Myspace