Sejarah: PAS buat kajian teliti sebelum sertai BN

HARAKAHDAILY | .

PAS ARAH BUAT KAJIAN TELITI SEBELUM SERTAI BN (26 JANUARI 1974)

PADA hari ini dalam tahun 1974, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengarahkan supaya Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS Pusat dan Dewan Ulamak PAS Pusat memulakan kajian terperinci mengenai penyertaan PAS dalam BN dari sudut politik dan juga hukum syarak.

PAS mengarahkan kajian terperinci ini adalah untuk menjadikan tindakan politik PAS bukan sahaja menguntungkan Islam, tetapi juga bertepatan dengan syarak.

Perkara ini berbangkit kerana Mesyuarat parti-parti yang menyertai kerajaan campuran pada 11 Januari 1974 telah mencadangkan kerjasama parti-parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum 1974.

Pendirian asal PAS ialah bersetuju dengan kerjasama parti-parti tersebut, tetapi tidak bersetuju menggunakan simbol yang sama sehingga identiti PAS hilang. Sebaliknya, parti-parti lain bersetuju supaya semua parti bertanding atas nama Barisan Nasional (BN).

Dewan Ulamak PAS Pusat pada 27 Januari 1974, setelah membuat kajian teliti, telah memutuskan keharusan penyertaan PAS dalam BN dengan syarat:

I. Dengan maksud khusus untuk menjayakan perjuangan mengisi tujuan-tujuan PAS;
II. Tidak menghilangkan identiti PAS; dan
III. PAS dikenali dengan simbolnya sendiri, walaupun bersatu atas platform.

Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS Pusat pula setelah meneliti Perlembagaan BN dan mengkaji dari sudut politik, pada 16 Februari 1974 telah bersetuju supaya pindaan Perlembagaan BN dibuat terhadap perkara-perkara yang penting dan tidak merugikan PAS.

Dengan asas yang dibina dari kajian-kajian ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju supaya PAS turut serta dalam BN yang ditubuhkan pada 1 Jun 1974.

Dengan keputusan Jawatankuasa Kuasa Kerja Agung PAS ini, PAS telah menyertai BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Keempat pada 24 Ogos 1974, tetapi ia telebih dahulu ia diterima dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-20 pada 13-15 Jun 1974.

Ketegasan sikap PAS dalam membentuk pendirian politik seperti yang dibuat ketika menyertai BN ini adalah untuk mengelakkan tindakan yang bercanggah dengan syarak dan merugikan politik Islam.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
26 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 26/1/2016

Share on Myspace